Nasional

Raja Perlis, Raja Perempuan hadir majlis santapan malam perasmian Kompleks Mahkamah Kangar

RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Bersama DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis Sempena Perasmian Kompleks Mahkamah Kangar di Dewan Bakawali, Mess Pegawai Kanan Polis di Jalan Raja Muda Kangar, malam tadi.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kangar, Dr Arik Sanusi Yeop Johari.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Ibni Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Antara yang turut hadir ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf,  Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya Tan Sri Datuk Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Pada sebelah paginya ketika berkenan merasmikan Kompleks Mahkamah Kangar yang baru tersebut Tuanku Raja menitahkan ucapan tahniah kepada pihak Mahkamah Negeri Perlis kerana berjaya merancang dan membangunkan kompleks berkenaan yang telah membuka suatu lagi lembaran dan sejarah baharu dalam pentadbiran sistem kehakiman negara ini dan akan menjadi mercu tanda baharu di Perlis.

Baginda juga berharap dengan pembinaan kompleks ini, ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan lain di sekitar kawasan ini selain berharap agar perancangan pembangunan yang sudah dirancang di kawasan sekitar ini dapat memberikan imej baru kepada bandar Kangar dan secara tidak langsung meningkatkan lagi ekonomi rakyat Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang mengambil tanggungjawab dan inisiatif dalam membina Kompleks Mahkamah Kangar yang baharu bagi menggantikan Mahkamah Kangar yang lama.

Dengan adanya Kompleks Mahkamah baharu yang lebih besar dan selesa ini, Baginda percaya ia mampu meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kehakiman yang berkualiti kepada semua pihak khususnya kepada rakyat Perlis. – SM

(Visited 573 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button