NasionalNegeri

Raja Muda rasmi Program Komuniti Dan Kesihatan Serta Kayuhan Jelajah Sihat Bulan Sabit Merah Malaysia

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Komuniti Dan Kesihatan Serta Kayuhan Jelajah Sihat Bulan Sabit Merah Malaysia di Projek DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis, semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Putri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah merangkap Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Program tersebut anjuran bersama oleh pihak BSMM dan Majlis Agama Islam Dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), turut memberi sumbangan berbentuk infrastruktur dan logistik program.

Ia turut mendapat kerjasama dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Polis DiRaja Malaysia serta para kepimpinan dan penduduk-penduduk kawasan setempat.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Setiausaha Agung Bulan Sabit Merah Malaysia, Hakim Hamzah memaklumkan, melalui program ini pihak BSMM telah memperuntukkan 390 pek makanan kepada komuniti dalam golongan B40 yang kurang berkemampuan di Perlis.

Diadakan dalam program kali ini ialah elemen kesihatan berbentuk penyediaan  perkhidmatan klinik bergerak, program kesihatan mental dan sokongan psikososial, dan program bantuan kecemasan agar memberi impak yang lebih besar kepada komuniti yang masih terjejas dengan kawalan pergerakan serta virus Covid -19.

Menurut Hakim, program ini, ditaja oleh Majlis Pemulihan Negara bagi Bantuan Makanan dan International Federation of Red Cross Red Crescent (IFRC).
Jelas beliau, BSMM merupakan satu badan agensi berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta 540 dan segala misi pergerakannya adalah di bawah Arahan 18,20,21 Majlis Keselamatan Negara.

Bulan Sabit Merah merupakan salah satu tunjang utama serta menyokong segala langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan bagi memberi perkhidmatan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat sejagat bertepatan dengan slogan “Nobody shall be left behind”.

Sempena program tersebut, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyaksikan demonstrasi ikatan dan balitan kecemasan, bantuan CPR, tercekik, saringan kesihatan ke atas 150 warga kampung, permainan kanak-kanak, Busking PEKOLA serta taklimat kebersihan diri.

Di akhir program Tunku Temenggong Kedah menitahkan bahawa, cara Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda beserta MAIPs yang telah membawa kampung nelayan ini ke dalam jagaan Tuanku dan mengambil keprihatinan rakyat dalam penjagaan peribadi Tuanku benar-benar memberi inspirasi kepada semua. – SM

(Visited 568 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button