Raja Muda Perlis titah rakyat Perlis supaya jaga kebersihan
Rakyat Perlis diingatkan supaya sentiasalah bersama-sama berdisplin mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran sebagai satu norma kehidupan harian masing-masing.
Bimbinglah setiap ahli keluarga untuk membuang sampah dengan cara yang betul. Ikat beg sampah tersebut dengan kuat dan kemas. Masukkannya ke dalam tong sampah dan tutup dengan rapat.
Selain itu, pilihlah kedai atau gerai makan dan pengendali makanan yang hanya benar-benar bersih sahaja sebagai satu budaya hidup baharu.
Pada masa yang sama, gunakan masa berada di rumah ketika PKP ini bersama-sama seluruh ahli keluarga untuk mengesan serta mengenali tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes. Ini termasuklah kolah air, pasu bunga, takungan air seperti tong, besen, pasu, botol-botol, tayar, bekas makanan polisterin, corong air, longkang, parit, lopak air dan sebagainya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes ini perlu dicari dan dimusnahkan pada setiap minggu. Bekas-bekas takungan air juga perlu dibersihkan sekali seminggu bagi mengelakkan nyamuk bertelur dan membiak.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda berkongsi mengenai ‘Hari Tanah Lembap Sedunia’ atau dalam Bahasa Inggerisnya ‘World Wetlands Day’ yang disambut pada hari kedua pada bulan Februari setiap tahun, iaitu pada hari semalam walaupun pada asalnya ia tidak pernah disambut sehinggalah pada tahun 1997.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, rakyat negeri ini diajak bersama-sama sedar berkenaan pengaruh dan impak positif yang diperolehi daripada kawasan tanah lembap terhadap dunia di samping menyatukan masyarakat untuk kepentingan alam semulajadi.