Negeri

Raja Muda Perlis titah MPKangar utamakan pandangan masyarakat

KANGAR 23 Mac – Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) perlu mengutamakan pandangan rakyat dalam sebarang perancangan pembangunan bandar selaras dengan Rancangan Tempatan 2035.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga seharusnya menyokong inisiatif rendah karbon dan tenaga boleh diperbaharui dalam membangunkan sebuah bandar mampan.

“Sebagai Smart City Early Adopter, MPKangar mesti berusaha menjadikan Perlis sebagai sebuah bandar pintar terkehadapan di Malaysia,” titah baginda sempena Majlis Iftar Mahabbah di Dewan Sivik MPK Arau.

Berangkat sama pada majlis anjuran Puspanita MPKangar dan Yayasan Kebajikan Perlis (YKPs) itu adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda berdua turut berkenan menyaksikan pemberian sumbangan kepada anak-anak asnaf bersempena bulan Ramadan.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, MPKangar juga perlu mengukuhkan integriti melalui pemantauan,
penguatkuasaan dan penglibatan bersama masyarakat.

“Kakitangan berwibawa dan pendekatan holistik penting dalam menjadikan MPKangar sebuah entiti PBT yang peka dan adaptif terhadap perubahan undang-undang. Ini termasuk memastikan pematuhan dan budaya kerja yang proaktif serta melakukan penambahbaikan secara berterusan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah agar PBT itu dapat memperkasakan hubungan dan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak.
Titah baginda, komunikasi dua hala penting dengan melibatkan pemegang taruh melalui sesi libat urus dan dialog awam bagi memastikan program MPKangar memberi impak positif.

“Oleh itu, MPKangar perlu merangka pelan pembangunan komuniti dengan kerjasama jabatan dan agensi bagi kejayaan bersama,” titah baginda.

-UTUSAN.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button