Nasional

Raja Muda Perlis nasihat rakyat bijak pilih pelaburan yang untung dan patuh syariah

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah menasihati rakyat untuk sentiasa bijak dalam memilih kaedah pelaburan yang menjanjikan pulangan terbaik, menguntungkan, selamat dan patuh syariah.

Baginda bertitah terdapat sebilangan rakyat hari ini memilih untuk membuat simpanan dalam bentuk emas seperti dinar, jongkong emas dan barang kemas yang dilihat sebagai pelaburan jangka masa panjang berikutan pulangannya yang lebih stabil dan tidak bersifat spekulatif.

Tambah baginda, wanita kini juga banyak yang cenderung memilih barang kemas sebagai aset kerana ianya boleh berfungsi sebagai perhiasan, dipajak atau dijual di kala memerlukan, dilaburkan untuk menambah pendapatan serta digunakan dalam perniagaan.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Al Ridza, Panggas untuk diagihkan oleh amilnya, Kasim Emat.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.


Baginda turut memetik kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI yang menyatakan bahawa hampir separuh daripada golongan T20 yang memohon pengeluaran melalui program i-Sinar KWSP merancang untuk membuat pelaburan dalam bentuk emas dan saham bagi mengukuhkan lagi keadaan kewangan mereka dalam menghadapi pelbagai kemungkinan akibat ancaman wabak Covid-19.

Tuanku Raja Muda turut berpendapat bahawa situasi tersebut merupakan perkembangan yang positif dan menunjukkan semakin ramai anggota masyarakat yang peka akan keperluan menabung atau melabur demi masa depan yang lebih terjamin bak kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’.

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button