NasionalNegeri

Raja Muda Perlis lancar Digital Pendidikan Jamalullail

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan program Digitalisasi Pendidikan Jamalullail (DPJ) di Masjid Darul Ibadah, Kampung Padang Behor, Kangar, semalam.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Program ini melibatkan “mass participation” atau penglibatan menyeluruh 4,642 guru dan 47,094 pelajar sekolah di negeri ini.

Idea atau asas program DPJ bagi mendigitalkan sektor pendidikan di Perlis ini bermula Januari 2021.

Digitalisasi Pendidikan di Perlis merupakan kesinambungan daripada pendidikan secara atas talian ketika era pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

Agak membanggakan apabila inisiatif Digitalisasi Pendidikan Perlis ini telahpun mendahului Pelan Digitalisasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diumum Januari 2022.

Bagi tujuan itu, pihak IX Ventura dengan produk SnappEd merupakan rakan strategik MAIPs dan Jabatan Pendidikan Perlis yang dipilih melalui proses tender terbuka bagi menerajui inisiatif DPJ ini.

Dalam titah, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs menzahirkan hasrat Baginda secara peribadi ingin melihat negeri ini terus menerajui dan mendahului digitalisasi pendidikan bahkan juga dalam sektor-sektor yang lain secara meluas atau menyeluruh.

“Marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan DPJ ini kerana kemenjadian anak-anak pelajar kita adalah tanggungjawab kita bersama serta bukti bahawa kita memandang serius terhadap pendidikan anak-anak kita. InsyaAllah,” titah Baginda. – SM

(Visited 268 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button