Nasional

Raja Muda Perlis berangkat menghadiri Sesi Taklimat Pelaporan Akhir Bagi Pelaksanaan Program Sekolah Amanah Jamalullail

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri ‘Sesi Taklimat Pelaporan Akhir Bagi Pelaksanaan Program Sekolah Amanah Jamalullail (PSAJ) di Negeri Perlis’ oleh Yayasan AMIR dan LeapEd pada semalam.

Sesi tersebut diadakan bersempena Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Yang Ketiga Bagi Tahun 2022 di Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, Kangar.

Hadir mempersembahkan pembentangan kepada Tuanku Raja Muda dan ahli-ahli Majlis MAIPs tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan AMIR, Zaida Khalida Shaari.

Sebanyak 5 buah sekolah di Negeri Perlis telah terpilih untuk menerima tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi pelaksanaan Program Sekolah Amanah Jamalullail yang bermatlamatkan untuk membawa budaya perubahan holistik kepada persekitaran pendidikan di sekolah dengan memberikan fokus kepada pembentukan pelajar holistik yang mencapai sasaran Kemahiran DwiBahasa, Etika dan Kerohanian, Kemahiran Memimpin, Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, dan Identiti Nasional.

Sekolah-sekolah yang terbabit dalam program selama tiga tahun sejak 2019 melibatkan bimbingan LeapEd dan JPN disusuli dengan dua tahun terakhir lagi dibimbing oleh pihak JPN sendiri ini adalah SMK Sanglang, SMK Kuala Perlis, SK Seberang Ramai, SK Batu Bertangkup dan SK Simpang Empat.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs ketika menutup persidangan tersebut menitahkan bahawa setiap organisasi yang berdaya saing itu amat memerlukan warga kakitangannya yang memiliki kemampuan untuk berfikir secara kreatif dan seterusnya melahirkan idea-idea yang inovatif.

Terang Tuanku Raja Muda, ‘Untuk membina minda yang kreatif pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengeluarkan keunikan setiap individu di samping mengatasi halangan-halangan yang membelenggu kreativiti. Justeru, marilah kita sama-sama berusaha ke arah ini di negeri Perlis tercinta ini’.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button