JenayahNegeriUncategorized

Dua direman, polis buru dalang

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Scammer yang disifatkan begitu berani apabila sanggup menyamar sebagai Ketua Polis Perlis serta menggunakan gambar Datuk Surina Saad pada aplikasi Whatsapp akhirnya berjaya ditangkap.

Bagaimanapun Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Komisioner, Wari Kiew berkata, sekalipun setakat ini dua suspek telah berjaya ditangkap tetapi polis terus memburu “dalang” yang mengetuai rangkaian scammer ini.

Suara Merdeka juga telah melaporkan mengenai perkara ini yang terbongkar apabila mangsa mendedahkan perkara ini di laman sosial Facebook (FB) dalam grup AWAS Scam di Malaysia yang mempunyai pengikut berjumlah 2,551 orang.

Dalam status itu, ibu beranak dua ini mendakwa scammer ini menghubunginya konon dia ada kaitan dengan kes lelaki yang terlibat dalam dadah dan wang haram.

Disebabkan kes itu membawa hukuman berat maka panggilannya disambung kepada pegawai atasan polis bernama Surina Aisyah yang didakwa boleh membantu.

Sehinggalah dia yang mengaku bagai “dipukau” kemudiannya mengikut sahaja arahan “Surina Aisyah” ke mesin ATM untuk memasukkan wang berjumlah RM7,000 pada 2.40 petang, 28 Mei.

Wari berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki warga Myanmar berusia 25 tahun pada pukul 11.45 pagi semalam di pekarangan sebuah kilang di Chemor, Perak.

“Penahanan ini berkaitan nombor telefon didaftar atas nama suspek,” katanya.

Wari berkata, tangkapan kedua pula melibatkan lelaki tempatan berusia 29 tahun dari Tanjung Karang, Selangor yang ditahan pada pukul 6 pagi ini.

Katanya, suspek yang merupakan seorang nelayan telah ditahan di sebuah rumah pada pukul 6 pagi ini.

“Suspek ditahan kerana akaun bank yang didaftar atas namanya,” kata Wari.

Wari berkata, pihaknya telah mendapat perintah daripada Mahkamah Kangar untuk menahan reman kedua suspek
selama empat hari mulai hari ini.

Wari berkata, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan/ 233 Akta Komunikasi Multimedia (AKMM). – SM

(Visited 390 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button