Nasional

Putrajaya sambut jubli perak pada 2020

MEMASUKI tahun 2020, wilayah pentadbiran kerajaan Persekutuan, Putrajaya, juga menginjak ke usia 25 tahun untuk menyambut jubli perak kewujudannya.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri keempat ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 29 Ogos 1995, Putrajaya, yang dahulunya merupakan kawasan di selatan Prang Besar, salah sebuah daerah di Selangor, telah melalui proses transformasi yang panjang dari kawasan hutan dan ladang kelapa sawit seluas 4,931 hektar kepada sebuah kota pentadbiran pintar.

Nama Putrajaya dipilih sebagai mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 1 Feb 2001.

Sejarah awal wilayah berkenaan bermula apabila Kabinet meluluskan kawasan Prang Besar pada 2 Jun 1993 untuk dijadikan tapak bagi membangunkan pusat pentadbiran yang baharu bagi menggantikan Kuala Lumpur.

Tanggal 31 Mei 1999, melakar satu lagi sejarah bagi Putrajaya apabila Bahagian Keselamatan Negara dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, kedua-duanya di bawah Jabatan Perdana Menteri, memulakan operasi di Kompleks Pejabat Perdana Menteri.

Dr Mahathir memulakan tugasnya secara rasmi di Putrajaya pada 21 Jun 1999 dan ini disusuli dengan mesyuarat Kabinet pertama di pusat pentadbiran itu dua hari kemudian.

Kini nama Putrajaya bukan lagi asing di kalangan orang luar sehingga ada pemimpin asing yang berhasrat mempelajari pencapaian atau perancangan Putrajaya.

Perkara tersebut diakui oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sebelum ini pernah menzahirkan kekaguman terhadap pencapaian Putrajaya yang sering mendapat pujian dan hebat diperkatakan pemimpin negara asing.

Seri Paduka turut berkongsi pengalaman bertemu dengan pemimpin-pemimpin negara asing khususnya ketua-ketua negara yang telah menyatakan tentang betapa cantiknya Putrajaya.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim, sambutan Jubli Perak Putrajaya akan diadakan sepanjang tahun 2020, dengan acara kemuncaknya dirancangkan pada 29 Ogos.

Katanya pada hari tersebut Dr Mahathir akan membuka sendiri kapsul masa yang pernah ditanamnya di Taman Putra Perdana, Presint 1, Putrajaya semasa menjadi Perdana Menteri keempat pada awal penubuhan Putrajaya.

“Kapsul masa itu mengandungi beberapa dokumen penting tentang sejarah dan perkembangan Putrajaya termasuk dokumen berkenaan Akta Perbadanan Putrajaya 1995 [Akta 536] tentang penubuhan Putrajaya akan dibuka pada hari tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya hari ini. -BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button