Politik

PUTRA tidak sanggah titah Agong, Parlimen segera bersidang

PUTRA menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah agar Parlimen bersidang segera bagi membolehkan Ahli-Ahli Parlimen membahas dan membincangkan pelbagai isu terutamanya yang berkaitan dengan menangani Covid-19.

Presiden parti, Datuk Dr. Ibrahim Ali dalam kenyataannya berkata,  isu-isu berkaitan program vaksinasi, perbelanjaan wang negara dan pemulihan ekonomi yang semakin tenat juga harus menjadi antara perbincangan dalam Parlimen.

“PUTRA berharap Ahli-ahli Parlimen kali ini apabila bersidang, mempamerkan kualiti perbahasan, berfakta, berani dan tegas sebagai suara yang mewakili rakyat,” katanya.

Sebelum ini Baginda Yang di-Pertuan telah pun memberi perkenan agar Parlimen boleh bersidang, cuma menunggu tarikh diumumkan oleh Perdana Menteri.

Ibrahim berkata, oleh kerana MAGERAN bukan menjadi pilihan namun Parlimen mesti bersidang segera menjadi pilihan utama, sudah pasti menggembirakan rakyat kerana fungsi Dewan Rakyat bukan sahaja membahas dasar dan undang-undang tetapi lebih penting ialah peranan SEMAK DAN IMBANG.

“Ini kerana wang beratus billion dibelanjakan mesti diaudit oleh Dewan Rakyat serta projek-projek direct nego yang diluluskan dalam tempoh masa darurat serta lain-lain perkara berteraskan ketelusan dan integrity,” kata Ibrahim dalam kenyataan yang sama.

PUTRA kata Ibrahim lagi, turut menyambut baik titah baginda agar program vaksinasi diperhebatkan sebagai jalan keluar kepada ancaman Covid-19.

“Hasrat sasaran 80% matlamat imuniti kelompok hendaklah dicapai secepat mungkin. Ini menunjukan bahawa program vaksinasi sekarang perlu diperhebatkan dan tidak lagi dilakukan secara perlahan-lahan ,” katanya.

Ibrahim berkata, apabila terlalu banyak kritikan, kecaman dan pelbagai persoalan diajukan oleh rakyat termasuk pembelian vaksin, sistem MySejahtera, pihak yang berwajib perlu tangani perkara ini dengan segera.

“Kita tidak boleh membiarkan persepsi bermaharajalela sehingga ke tahap berlakunya tuduhan kononnya ada pihak yang mengaut komisyen lumayan melalui kroni dan sebagainya berkaitan dengan bekalan vaksin Covid-19.

“Jika perlu, lantik satu task force bebas supaya tumpuan dapat dilakukan bagi mencapai matlamat vaksinasi 80  secepat mungkin,” kata beliau. – SM

(Visited 99 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button