Nasional

Putera raja pemerintah lima negeri zahir harapan negara Malaysia

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 pada tahun ini menjadi begitu bermakna sekali apabila para Putera Raja Pemerintah di lima buah negeri berkenan menzahirkan titah harapan berkaitan negara Malaysia secara atas talian di dalam program ‘Harapan DiRaja Pewaris Negara Merdeka’ yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada malam semalam.

Dalam siaran tersebut kesemua Putera Raja Melayu yang terlibat menitahkan salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa Covid-19 dan mendoakan agar mereka terus tabah serta semoga penularan wabak ini berakhir dengan secepat mungkin.

Pada kesempatan itu juga, baginda-baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan hadapan negara di atas segala jasa dan pengorbanan mereka dalam memerangi wabak ini selain mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-64 kepada seluruh rakyat di negeri masing-masing dan juga seluruh rakyat di negara ini.

Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, menyampaikan harapan baginda dengan menyeru semua warga negara Malaysia untuk merenung kembali lima prinsip Rukun Negara kerana ia adalah asas pembentukkan tanah air yang menyatukan kita.

Sementara itu Tengku Mahkota Kelantan Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra bertitah, “Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini pastinya berbeza tak kala negara masih berdepan wabak Covid-19. Namun begitu, ianya bukanlah penghalang untuk kita menghayati detik-detik pengorbanan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, pemimpin-pemimpin, pahlawan-pahlawan negara serta rakyat terdahulu yang berjuang demi mecapai kemerdekaan untuk negara kita. Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar hari untuk bersuka-suka semata-mata, tetapi untuk kita menghayati dan mengenang akan erti kemerdekaan bahawa Kemerdekaan bukan sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah, dan datangnya dengan izin oleh Allah SWT.

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pula bertitah, kita semua harus bersatu padu dalam menangani pandemik ini dengan menzahirkan kesungguhan dalam mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan. Baginda menyeru agar semua menyingkap semula sejarah pejuang-pejuang kemerdekaan negara, sedar dan berpijak di bumi yang nyata dan usaha membangunkan negara kita yang tercinta.

Seterusnya, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru semua rakyat Malaysia agar kita dapat bersatu hati, mengekalkan perpaduan dan meraikan perbezaan kaum di antara kita supaya keharmonian dapat dikekalkan. Marilah kita semarakkan bulan kemerdekaan ini dengan perkara-perkara yang positif.

Akhir sekali, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bersama-samalah kita bangunkan negara dan bangsa, memerdekakan diri daripada segala unsur negatif dan tidak saling menuding jari dengan sentiasa mencari titik persamaan. Pada masa yang sama, sebarang pandangan wajarlah membina, konstruktif dan mengetengahkan solusi.

Program julung kali ini telah disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Live Suara Sunnah Channel, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta di saluran YouTube SSTP JPNPERLIS.

Pautan video penuh: https://www.youtube.com/watch?v=sYjoUz9e5-g

(Visited 357 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button