PTSS perkasakan bahasa Melayu kepada pelajar Saetham Witayya School, Trang, Thailand
Pelancaran Program Bahasa Melayu oleh Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Saetham Witayya School,Trang, Thailand disifatkan sebagai satu lagi usaha murni memperkasa bahasa Melayu di kalangan generasi muda Melayu yang menetap di selatan Thailand.
Pengarahnya, Abdul Malek Hassan, peluang ini perlu digunakan sebaik mungkin supaya bahasa Melayu terus dihargai di negara ini khususnya di kalangan orang Melayu.
Katanya, jika jumlah generasi di selatan Thailand semakin ramai boleh berbahasa Melayu maka lebih banyak lagi perkongsian dari segi ekonomi dan sosial boleh dilakukan dengan institusi pengajian tinggi (IPT) kawasan Utara.
“Sekaligus komunikasi juga menjadi lebih mudah apabila tidak perlu lagi ada penterjemah dari bahasa Thai ke Melayu,” katanya kepada media Malaysia selepas majlis pelancaran ini.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Shahreen Akashah Khalil berkenan melancarkan Program Bahasa Melayu oleh PTSS di Saetham Witayya School,Trang, Thailand.
Berkenan hadir anakanda Baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Pelancaran bahasa Melayu ini antara program Ziarah Mahabbah yang diketuai oleh Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang Di Pertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bersama Delegasi Jawatankuasa Pengurusan Zakat dan Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs ke Wilayah Trang, Thailand dari 6 hingga 8 Oktober.
Sementara itu, salah seorang guru yang ditemui, Jasmin Harun, 25 , berkata, setakat ini pelajar sekolah ini memang menunjukkan minat untuk belajar bertutur dalam bahasa Melayu.
Setakat ini, beliau sering mengggunakan video kartun Upin Ipin sebagai kaedah pengajaran bagi pelajarnya mudah untuk mahir bertutur dalam bahasa Melayu.
“Selain video, saya juga menggunakan nyanyian nasyid supaya pelajar lebih mudah memahami bahasa Melayu,” katanya.
Seorang lagi guru, Wan Ibtisam Wan Shamsuddin, 30, berkata, dengan tambahan pembelajaran bahasa Melayu ini membolehkan pelajar mahir dalam satu bahasa lagi selain bahasa Inggeris, Arab selain Thai.
“Kita harap dengan program ini akan membolehkan pelajar tingkatan satu hingga tiga fasih berbahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini ada pelajar yang sudah boleh berbahasa Inggeris yang juga hasil kerjasama dengan PTSS di mana ada pelajar menjadi penterjemah sambilan kepada pelancong. – SM
BACA Pensyarah UPM, Dr. Norazlina Mohd Kiram menjulang Bahasa Melayu di Frankfurt