NasionalPendidikanpilihan

PTPTN umum dividen Simpan SSPN 3.05 peratus

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak 3.05 peratus dan Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime sebanyak 1 peratus.

Pengagihan dividen Simpan SSPN tahun 2022 dan Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime tahun 2023 telah diumumkan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi di Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada hari ini. Turut hadir YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar, Ketua Setiausaha KPT, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Pengurusan Tertinggi KPT, Lembaga Pengurusan PTPTN serta Pengurusan PTPTN.

Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, simpanan untuk pendidikan tinggi adalah perkara yang sangat kritikal.

“KPT sentiasa memandang serius budaya amalan menabung untuk pendidikan. Galakan demi galakan diperkenalkan agar masyarakat menyahut secara besar-besaran seruan menabung untuk pendidikan.

“Ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman, tetapi berupaya mengelakkan anak-anak dibelenggu hutang apabila tamat pengajian.

“Misi ini selaras dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan tentang kesejahteraan ekonomi dan sosial demi malaysia yang lebih maju dan makmur,” katanya pada Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2022 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 semalam.

Kadar dividen kompetatif

 Kadar dividen Simpan SSPN yang telah diumumkan sebanyak 3.05 peratus akan memberi manfaat kepada 5.73 juta pendeposit akaun Simpan SSPN melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM266.17 juta. Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM1.33 billion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004.

Agihan dividen ini akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing secara dalam talian di portal rasmi PTPTN www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN mulai hari ini.

Pemberian dividen 3.05 peratus ini adalah lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak 3.00 peratus pada tahun 2021. Ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum diberikan kepada para pelanggan.

Pemberian dividen Simpan SSPN pada kadar 3.05 peratus ini menunjukkan pulangan pelaburan yang positif jika dibandingkan dengan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate (OPR)) yang ditetapkan oleh Bank Negara antara 1.75 peratus hingga 2.75 peratus untuk tempoh Januari sehingga Disember 2022.

Kadar dividen ini merupakan kadar yang kompetitif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan simpanan di akaun semasa dan simpanan tetap di bank. Bagi tahun 2022, keuntungan/ kadar faedah produk simpanan yang ditawarkan oleh bank tempatan adalah antara 2.05 peratus sehingga 2.75 peratus. Justeru, kadar dividen ini merupakan kadar pulangan yang lebih menguntungkan dan akan menjadikan Simpan SSPN kekal berdaya saing setanding produk-produk lain di pasaran.

Pencapaian Simpan SSPN 2022 membanggakan

Tahun 2022 telah menyaksikan pencapaian Simpan SSPN yang membanggakan dengan terimaan deposit Simpan SSPN adalah berjumlah RM3.36 bilion iaitu 119.93% berbanding sasaran sebanyak RM2.8 bilion. Pencapaian tahun 2022 ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM350.55 juta atau 11.66% berbanding tahun 2021 sebanyak RM3.01 bilion. Keuntungan pelaburan deposit Simpan SSPN bagi tahun 2022 pula adalah berjumlah RM321.65 juta.

Manakala, bagi pembukaan akaun baharu Simpan SSPN, sebanyak 491,984 akaun telah dibuka pada tahun 2022 berbanding sasaran sebanyak 400,000 akaun. Pencapaian ini adalah 123.00% berbanding sasaran tahun 2022. Oleh itu, prestasi memberangsangkan ini menterjemahkan keyakinan dan sokongan para pendeposit Simpan SSPN kekal utuh dan berterusan.

Sambutan masyarakat terhadap Simpan SSPN yang sangat menggalakkan turut disokong pelbagai keistimewaan dan manfaat yang ditawarkan melalui produk ini. Paling menarik, Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang memberikan keistimewaan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun. Antara keistimewaan lain ialah perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023

Dalam majlis yang sama, PTPTN turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 pada kadar 1 peratus. Ganjaran Kesetiaan adalah sebagai hadiah istimewa kepada para pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat penabungan dalam jangka masa panjang dan sebagai ganjaran tambahan selain dividen tahunan. Tahun ini merupakan tahun ke lima (5) kempen ini dilaksanakan semenjak diperkenalkan pada tahun 2019.

Ganjaran Kesetiaan ini akan dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM500 dalam tempoh promosi iaitu bermula 5 April 2023 hingga 31 Julai 2023. Kempen ini layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun 2004 sehingga 31 Disember 2019. – SM

Artikel berkaitan > Pelepasan cukai pendapatan individu untuk SSPN diperkenalkan semula

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button