Nasional

Anwar perlu tegas pertahankan perairan Negara – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana membuat kenyataan yang dikatakan “cuai” mengenai Laut China Selatan, yang menjadi pusat pertikaian wilayah antara beberapa negara.

Ini berlaku selepas perdana menteri berkata Beijing telah menyatakan kebimbangan terhadap aktiviti Petronas di kawasan Laut China Selatan yang dituntut oleh China.

Anwar berkata Putrajaya terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Beijing “jika China merasakan ini adalah hak mereka”.

Dalam satu kenyataan, Muhyiddin mendakwa Anwar secara tidak langsung mengakui dakwaan China ke atas kawasan yang secara rasminya milik Malaysia, sambil menambah bahawa wilayah Malaysia mesti dipertahankan.

“Realitinya adalah kawasan projek penerokaan Petronas, yang dirujuk oleh perdana menteri, adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan atau dituntut oleh China.

“Kenyataan perdana menteri mengenai keterbukaan Malaysia terhadap rundingan di wilayah negara boleh mengancam kedaulatan negara,” kata bekas perdana menteri itu.

Muhyiddin juga berkata perdana menteri harus “lebih tegas” dalam mempertahankan perairan Malaysia, selepas beberapa kapal tentera laut China dikesan di kawasan itu.

Walaupun China mendakwa ini melibatkan perairan antarabangsa, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata pertikaian mengenai kawasan itu masih belum diselesaikan dan Asean masih belum mencapai kata sepakat mengenai perkara itu.

Beliau juga menegaskan bahawa Asean enggan mengiktiraf “garisan sembilan sengkang” China di atas Laut China Selatan, sempadan yang didapati tidak mempunyai asas undang-undang oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap di Hague pada 2016.

“Sebarang perbincangan mesti diadakan selaras dengan konsensus Asean dan tatakelakuan Laut China Selatan. Walaupun Malaysia mengiktiraf China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan Malaysia tidak boleh dikompromi.

“Memandangkan kedudukan Asean sebagai persatuan 10 negara, Malaysia mesti menangani isu maritim antarabangsa dengan lebih berhati-hati,” kata presiden Bersatu itu.

Pada Selasa, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa Putrajaya percaya projek penerokaan Petronas berada di dalam perairan Malaysia.

China telah mengekalkan tuntutan kedaulatan ke atas Laut China Selatan, yang sebahagiannya turut dituntut oleh Taiwan, Filipina, Malaysia dan Brunei. -SM

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button