fbpx
Ekonomi

PT Bank CIMB Niaga catat untung bersih 1.1 trilion rupiah

PT Bank CIMB Niaga Tbk mencatatkan keuntungan bersih disatukan tanpa diaudit sebanyak 1.1 trilion rupiah Indonesia (Rp) (RM1= Rp3,445 ) bagi suku pertama 2020 yang berakhir 31 Mac, 2020 dan diterjemahkan dalam bentuk pendapatan sesaham Rp42.33.

Presiden Pengarahnya, Tigor M. Siahaan berkata walaupun berdepan keadaan yang mencabar akibat pandemik COVID-19, bank itu berjaya mencapai pertumbuhan untung bersih dua angka pada suku pertama 2020, dipacu terutamanya oleh pertumbuhan pendapatan bukan faedah tahun ke tahun sebanyak 11.5 peratus dan pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak 2.7 peratus tahun ke tahun.

“Ini menyebabkan, nisbah kos kepada pendapatan meningkat dan ketika ini di bawah 48 peratus.  Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) tumbuh 18.8 peratus tahun ke tahun dan menyumbang 6.3 peratus kepada pertumbuhan deposit.

“Perlindungan kerugian kami naik kepada 191.13 peratus dengan perbelanjaan pembekalan menokok 8.7 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Beliau berkata nisbah kecukupan modal CIMB Niaga kekal baik pada 19.39 peratus sehingga 31 Mac, 2020.

Beliau berkata, dengan jumlah aset berjumlah Rp274.5 trilion sehingga akhir suku itu, CIMB Niaga mengekalkan kedudukannya sebagai bank swasta kedua terbesar Indonesia dari segi aset.

“Jumlah deposit berjumlah Rp202.6 trilion dengan nisbah CASA sebanyak 60.1 peratus. Akaun simpanan naik 20.3 peratus tahun ke tahun, dipacu terutamanya oleh komitmen bank yang berterusan untuk meningkatkan aspek digital dan pengalaman pelanggan,” kata Tigor.

Beliau berkata jumlah pinjaman berkembang 3.3 peratus tahun ke tahun kepada Rp194.3 trilion disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan dalam segmen perbankan pengguna.

“Kami mengekalkan kepimpinan yang kukuh dalam gadai janji iaitu 11.6 peratus, manakala pinjaman kad kredit naik 8.9 peratus tahun ke tahun didorong oleh pengembangan perniagaan peniaga,” katanya.

Bagi segmen perbankan Syariah, Niaga Syariah CIMB mengekalkan kedudukan sebagai unit perniagaan Islam terbesar di Indonesia dengan jumlah pembiayaan bernilai Rp34.5 trilion dan deposit meningkat kepada Rp30.3 trilion bagi suku pertama 2020.

“Tumpuan kami adalah untuk meningkatkan mudah tunai dan mengekalkan kualiti aset dan disiplin kos. Menuju ke tahun kedua inisiatif transformasi Forward 23, kami sedang melabur dan berusaha keras untuk menambah baik pengalaman pelanggan serta meningkatkan pendigitalan dan produktiviti.

“Kami akan terus memajukan saluran digital kami untuk menyokong keperluan pelanggan khususnya ketika tempoh yang mencabar ini,” kata Tigor. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!