Auto TravelBerita Auto

Proton tawar pakej kewangan menarik untuk siswazah baharu

PROTON Commerce Sdn Bhd (PCSB) yang juga syarikat di bawah Kumpulan Proton memperkenalkan kempen bagi membolehkan siswazah baharu memiliki kereta pertama pada kadar pinjaman sewa beli yang rendah.

Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata kempen itu hanya memerlukan surat pengesahan pekerjaan atau slip gaji sebulan sebagai syarat untuk mendapatkan pinjaman.

Syarat-syarat utama termasuk mestilah seorang graduan (sekurang-kurangnya diploma), berumur 18 hingga 30 tahun serta bekerja dengan gaji minimum RM1,500.

“Kempen itu berlangsung sehingga 31 Disember 2020, seiring dengan penawaran jualan tanpa cukai bagi semua kereta Proton.

“Ini bagi membantu mengatasi masalah mobiliti bagi mereka yang baru memasuki fasa pekerjaan. Halangan utama bagi pembeli dalam segmen ini adalah untuk mendapatkan pinjaman sewa beli tanpa mempunyai bukti pendapatan selama tiga bulan yang merupakan syarat lazim bagi kebanyakan pinjaman,” demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PCSB Mooi Fi Phang yakin pakej itu dapat membantu siswazah baharu memiliki kereta dengan bayaran pinjaman serendah RM239 sebulan.

“Melihatkan kepada ekonomi ketika ini, mobiliti adalah penting bagi anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan dan kempen ini dapat memberi pemerkasaan dan autonomi kepada mereka,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button