Ekonomi

Program Digital Desa Bank Rakyat perkasa budaya tanpa tunai di luar bandar

GEDONG, 28 JANUARI 2025 – Program Digital Desa Bank Rakyat 2024 menerima sambutan yang amat memberangsangkan dengan penglibatan lebih daripada 3,000 orang penduduk selain memanfaatkan lebih 1,500 pelajar dan hampir 600 usahawan dari lima lokasi utama, iaitu Kedah, Kelantan, Johor, Selangor dan Sarawak.

Program Digital Desa Bank Rakyat 2024 yang berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Disember 2024 ini merupakan siri kedua inisiatif berkenaan untuk memperkukuh budaya tanpa tunai dalam kalangan komuniti luar bandar.

Dalam ucapan beliau semasa Majlis Perasmian Penutupan Program Digital Desa Bank Rakyat 2024 yang diadakan di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong, Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, inisiatif ini bukan sahaja membuktikan komitmen Bank Rakyat dalam memperkasa perbankan digital, tetapi juga membuka ruang yang luas untuk mencipta lebih banyak peluang perniagaan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Ini adalah satu langkah besar ke arah mewujudkan sebuah ekosistem perbankan digital yang mana dapat memudahkan urusan kewangan, mempercepatkan proses transaksi dan mengurangkan jurang digital dalam kalangan masyarakat”, ujar Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick berkata, pihak Kementerian yakin bahawa program seperti ini adalah contoh terbaik bagaimana sektor kewangan dan teknologi boleh digabungkan untuk memberi impak positif kepada masyarakat.

“Saya juga percaya dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri, Bank Negara Malaysia dan PayNet, inisiatif seperti Program Digital Desa Bank Rakyat ini akan terus memberi manfaat kepada lebih ramai lagi komuniti luar bandar pada masa hadapan,” ujar YB Datuk Ewon.

Dalam pada itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, inisiatif ini juga berfungsi sebagai platform untuk Bank Rakyat mendekati usahawan desa bagi memperkasakan agenda keusahawanan digital serta membantu mereka memanfaatkan peluang teknologi dan platform yang disediakan. Usaha ini selaras dengan komitmen Bank Rakyat untuk meningkatkan kecekapan perniagaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara.

“Dengan sokongan yang berterusan, saya percaya program ini akan menjadi pencetus kepada perubahan yang lebih besar, yang mana penggunaan teknologi digital bukan sahaja dapat memperkasa usahawan desa tetapi juga membantu dalam merealisasikan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan untuk seluruh komuniti,” tambah Datuk Mohd Irwan.

Menerusi inisiatif ini, komuniti luar bandar kini dapat melakukan pembayaran secara digital melalui MyDebit, DuitNow dan DuitNow QR tanpa perlu menanggung risiko membawa wang tunai serta lebih efisien kerana pengguna boleh membuat pembayaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Platform i-MerchantRAKYAT turut disediakan, memudahkan urusan kewangan sama ada bagi tujuan peribadi atau bagi peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta usahawan mikro untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Inisiatif ini turut menawarkan kemudahan serta fleksibiliti kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menerima pembayaran tanpa tunai dengan hanya menyentuh Kad Kredit-i atau Kad Debit-i pada telefon pintar.

Semasa majlis tersebut, Bank Rakyat turut menyampaikan beberapa sumbangan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong pembangunan dan kelestarian komuniti, termasuk sumbangan barangan keperluan sekolah, sumbangan aktiviti pengimarahan surau, sumbangan bagi inisiatif solar di masjid serta penyerahan kanopi program Jajahan Rakyat Bank Rakyat kepada usahawan Pasar Pagi Gedong, Sarawak. Turut diraikan, usahawan yang terlibat melalui Program iTekad dan Pembiayaan Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil serta Program Santai Namun Sampai Bank Rakyat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button