Nasional

Program Bersepadu Orang Asli NCER, UPSI sokong komitmen KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) komited melaksanakan inisiatif transformasi pendidikan orang Asli dan pribumi menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang berkualiti serta relevan dengan keperluan semasa.

Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata antara inisiatif itu termasuklah penubuhan Sekolah Model Khas Komprehensif K9 sehingga K11.

Menurut beliau, kerajaan menerusi KPM akan mewujudkan kemudahan asrama di sekolah yang mempunyai enrolmen 100 peratus murid orang Asli, program khas murid orang Asli, program transformasi pendidikan orang Asli yang rata-rata bertujuan untuk meningkatkan kadar kehadiran dan program intervensi murid orang Asli dan pribumi.

Beliau berkata ia bertujuan untuk meningkatkan minat murid orang Asli dan pribumi dalam pembelajaran menerusi model pembelajaran yang disesuaikan dengan konteks persekitaran mereka seperti Didik Hibur dan pelbagai modul yang dibangunkan UPSI.

“KPM juga mengambil pendekatan melalui pelbagai sesi libat urus dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), ibu bapa, ketua komuniti , pertubuhan bukan kerajaan termasuk NCER,” katanya ketika berucap merasmikan program Bersepadu Orang Asli 2022 Empowerncer Akademik @Perak di Panggung Percubaan anjuran Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampus Sultan Azlan Shah Sabtu lalu.

Hang Soon berkata bajet 2022, sebanyak  RM274 juta diperuntukkan kepada komuniti orang Asli untuk melaksanakan program peningkatan taraf hidup orang Asli seperti pemberian subsidi, bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200 ribu orang Asli.

Malah, katanya, kerajaan akan menaikkan kadar wang saku murid sekolah menengah kepada RM4 sehari.

Mengulas lanjut, beliau berkata pencapaian UPSI dalam kedudukan universiti dunia yang meningkat setiap tahun memperlihatkan keupayaannya merealisasikan usaha memajukan pendidikan di daerah Muallim, Perak serta Malaysia.

Justeru, sumbangan besar Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bekerjasasma dengan UPSI dan institusi pendidikan lain memberi manfaat yang besar terhadap masyarakat termasuk orang Asli selain ibu bapa dan pendidik.

Han Soon menyeru murid orang Asli mengambil peluang meningkatkan tahap akademik serta aspek sahsiah, jati diri serta jiwa raga dari pelajar universiti untuk mengharungi cabaran hidup.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pendidikan adalah aset yang tidak ternilai, malah UPSI berterima kasih kepada pihak NCER dan KPM yang menjana pendidikan negara ini daripada sebuah negara biasa di Asia Tenggara sehingga Malaysia menjadi antara negara yang terbaik dalam rantau ini.

Ketua Bahagian Modal Insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datin Shahdee Datuk Ahmad berkata program yang bermula pada 2 Januari itu melibatkan seramai 900 orang asli dari 15 buah sekolah di lima daerah iaitu daerah Muallim, Batang Padang, Kampar, Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar bertujuan memantapkan lagi akademik dan sahsiah murid selain memberi pendedahan kepada murid tentang dunia luar.

“Program ini tujuan meningkatkan pencapaian akademik dan peratusan kehadiran murid orang Asli terutama dalam fasa peralihan ke tahun enam dan sekolah menengah menerusi kaedah pengajaran tambahan berkesan berdasarkan modul oleh pakar pendidikan UPSI yang merangkumi asas pembelajaran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, kelestarian minat, motivasi, kemahiran insaniah, serta komunikasi,” katanya. -SM

(Visited 390 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button