BanjirNasional

Jumlah mangsa banjir di PPS semakin menurun

KEADAAN banjir di seluruh negara  hari ini semakin pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin menurun di tiga negeri yang masih terjejas iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

Di Johor, banjir semakin surut dan jumlah mangsa terus mencatatkan penurunan kepada 2,298 orang setakat 8 pagi tadi berbanding 2,935 individu petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, empat daerah di Johor masih terjejas banjir melibatkan 35 PPS dengan Muar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, 873 orang, diikuti Segamat (734), Tangkak (610) dan Batu Pahat (81).

“Dua PPS telah ditutup iaitu Balai Raya Padang Kiambang dan Kompleks Penghulu Mukim Pogoh di Segamat berikutan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan, 66 mangsa daripada 15 keluarga masih berada di PPS SK Temai di Pekan.

Sementara itu, PPS terakhir di Rompin yang menempatkan 14 mangsa daripada empat keluarga menamatkan operasinya malam tadi apabila mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jabatan Meteorologi turut meramalkan cuaca baik di daerah Pekan sepanjang hari ini.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Cuthbert John Martin Quadra berkata, mangsa banjir kini berjumlah 124 orang daripada 36 keluarga dan semuanya masih ditempatkan di tiga PPS di Jasin.

“Cuaca di seluruh negeri ketika ini dilaporkan cerah, namun penduduk di lokasi berhampiran Sungai Muar di Bukit Kepong yang kekal mencatatkan paras bahaya dinasihatkan agar sentiasa berwaspada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – SM

(Visited 161 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button