Profesor tidak berkualiti: Wira Putra tempelak penulis, Syed Akbar
KRITIKAN yang dikeluarkan tokoh pendidikan, Tun Dr. Arshad Ayub mengenai kompetensi 2,500 profesor di negara ini mendapat perhatian pelbagai pihak.
Termasuklah satu kritikan daripada penulis blog, ‘Syed Out Side The Box’ oleh Syed Akbar Ali yang dilemparkan kembali kepada Dr. Arshad.
Bagaimanapun kritikan tersebut disifatkan berbaur perkauman dengan mendakwa profesor yang tidak mencapai tahap standard diharapkan adalah profesor Melayu.
Dakwaan tersebut diberikan kepada penulis berkenaan sambil menjelaskan bekas Pengarah Institut Teknologi MARA (ITM) itu bercakap atas dasar pengalaman luas dalam bidang pendidikan.
“Jika dilihat kenyataan penulis berbaur perkauman dengan cuba mengatakan profesor Melayu tidak kompeten.
“Namun interpretasi jahat penulis seperti sengaja membanding bezakan antara kaum seperti semua yang tak kompeten adalah profesor Melayu sahaja bukan Profesor Cina dan India.
“Alasan penulis, sebab Naib Canselor (NC) adalah orang Melayu. Apa kena mengena NC dengan profesor? professor berapa ramai satu universiti? NC pula berapa ramai?”
Demikian kata Ketua Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa (Putra), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, menempelak kritikan daripada Syed Akbar.
Syed Akbar dalam blognya sebelum ini mengulas laporan yang diterbitkan portal Utusan Malaysia yang menemubual Dr. Arshad.
Dalam tulisannya, beliau seperti cuba meletakkan kesilapan berkaitan 2,500 profesor itu ke atas bahu Dr. Arshad yang pernah menjadi pengarah institutis pengajian tinggi bumiputera.
Dakwanya, Dr. Arshad sepatutnya kembali kepada punca masalah kepada kelahiran 2,500 profesor. Bagaimana 2,500 profesor itu dilahirkan?
Dalam kritikan sama, beliau cuba mengaitkan dengan jumlah profesor dan Naib Canselor universiti yang terdiri daripada orang Melayu.
Selain itu, beliau juga mendakwa di Malaysia lebih ramai guru, profesor, penyelidik dan saintis yang lahir dalam kalangan Cina dan India berkompetensi.
Malah, beliau juga memberitahu lebih ramai profesor CIna dan India mempunyai pengalaman dan pencapaian dari universiti luar negara.
Walau bagaimanapun, Nasrul Ali mengingatkan Syed Akbar untuk melihat kembali bagaimana golongan bukan bumiputera mampu pergi ke pusat pengajian perubatan swasta jika tidak layak masuk ke universiti awam.
Katanya, jika dibandingkan antara pelajar Melayu, Cina dan India, lebih ramai pelajar Melayu yang masuk ke universiti awam melalui proses meritokrasi dengan adil.
“ika ingin di bezakan hasil graduan, berapa banyak ketika zaman kerajaan terdahulu wujudkan IPTS (Institusi Pengajian Tinggi Swasta) yang menjurus kepada kemasukan bangsa bukan Melayu.
“Adakah mereka disaring mengikut standard meritokrasi yang ditetapkan? atau diluluskan sahaja agar lambakan graduan dari bangsa mereka turut dapat dikeluarkan agar tidak ketinggalan dengan graduan Melayu dari Universiti Awam?
“Sebagai contoh ada kalangan pelajar bukan Melayu yang tidak layak mengikut meritokrasi pendidikan Malaysia untuk masuk ke universiti awam dalam bidang perubatan, masih diterima sekiranya mampu menanggung kos yuran di kolej atau universiti swasta.
“Adakah mereka ini benar-benar kompeten kerana dari awal lagi telah menipu sistem pendidikan?
“Sekurang-kurangnya pelajar Melayu dan Pribumi melalui proses meritokrasi dengan adil sekiranya layak akan dimasukkan ke universiti, jika cemerlang akan ditawar ke luar negara.
“Manakala manakala yang kurang cemerlang masih diberi ruang untuk lanjut pengajian ke bahagian kemahiran.
“Sedangkan selaku pribumi mereka wajar mohon diutamakan untuk masuk ke semua universiti mahupun layak mendapatkan biasiswa untuk menaja pengajiannya,” tegas Nasrul. – SM