Politik

PRN Sabah: Shafie Apdal terbayang Musa Aman atau …

RITORIK politik dalam berkempen pada mana-mana pilihan raya di Malaysia mesti mahu menyerang peribadi calon atau lawan.

Seolah-olah tidak ada modal lain yang mahu dijaja sepanjang tempoh masa berkempen, serangan yang menjurus kepada peribadi menjadi modal pilihan murahan.

Jika artis dikatakan mencari publisiti murahan dengan cerita-cerita yang tidak membina kerjaya seni, calon politik sebenarnya tidak jauh berbeza dalam mencari modal kempen murahan.

Menjaja cerita Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal takut kepada bayang-bayang bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, agak melucukan.

Mana mungkin Shafie takut kepada bayang-bayang Musa sehingga dikatakan menyerang dan mengaibkan beliau seperti mana didakwanya dan dilaporkan dalam FMT.

Bijak pula Musa berkata-kata sepatutnya Shafie tumpukan kepada urusan pembangunan dan bukannya bermain politik sepanjang masa. Soalan itu dilontarkan balik kepada Musa, apakah ada beza?

“Ada orang cakap, Shafie ini dia bangun saja terus nampak muka saya, dia ini mungkin takut dengan bayang-bayang saya, sedangkan saya bukan lagi calon, bukan lagi ketua menteri.

“Mana ada ketua menteri yang selepas dilantik saja kerja dia buka fail untuk mencari kesalahan kerajaan atau ketua menteri terdahulu, sepatutnya beri tumpuan kepada pembangunan Sabah. Ini dia (Shafie) tahu umum saja,” kata Musa pada majlis bersama rakyat di Kiulu hari ini yang turut dihadiri calon PBS di DUN itu, Joniston Bangkuai.

Mencari kesalahan bukannya suatu elemen teratas dalam kamus Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah tetapi berdasarkan rekod terdahulu, mungkin Shafie perlu merujuk apakah yang perlu diperbaiki semasa Sabah dibawah pentadbiran beliau.

Takkanlah itu pun dipandang sebagai mencari kesalahan jika nawaitu sebenar Shafie, hanya dia sahaja yang tahu.

Rakyat Sabah sebenarnya bukanlah mudah untuk dimomok-momokkan oleh mana-mana ahli politik yang giat bermain politik.

Tak habis-habis dengan politicking sehingga alpa, apakah yang boleh dilakukan untuk menarik lebih ramai pelabur, meningkatkan ekonomi supaya berada di landasan yang betul.

Kempen memang lah sekarang ini tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 tetapi apakah isu utama yang dibawa oleh calon demi kebaikan rakyat?

Kenalpastilah isu local, carilah penyelesaiannya dan bukannya modal serangan peribadi yang diselubungi dengan persepsi.

Kata Musa Aman, rakyat kini sedar kerajaan negeri pimpinan Warisan sangat teruk prestasinya sehingga mengakibatkan ekonomi Sabah jatuh.

Musa memberi rujukan sebegitu dan katanya, “pada 26 September ini, kita ada pilihan raya. Ingat, jangan salah pilih, kalau dulu mereka kata ubah, ini kali kita ubah balik.”

Perubahan itu memang bagus kalau tepat dan dilaksanakan segala dasar dan strategi demi pembangunan rakyat.

Tetapi kalau perubahan itu adalah untuk kesinambungan kuasa dan berkuasa, apakah rakyat akan memperoleh faedah?

Kuasa mengundi di tangan rakyat. Pilih dengan bijak, calon atau parti yang boleh berkhidmat kepada masyarakat.  – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button