Politik

Mohd. Shafie gagal selesai isu air di Pulau Gaya?

PENDUDUK di Pulau Gaya didakwa berterusan menderita akibat kegagalan kerajaan negeri memastikan bekalan air bersih dapat dibekalkan di kawasan tersebut.

Namun, ia dikatakan masih belum lagi dapat direalisasikan apabila projek yang siap pada September 2015 tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk di sana.

Perkara itu didakwa merupakan kegagalan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan kini menjadi Ketua Menteri Sabah.

Malah, penduduk di sana pada hari ini dikatakan masih lagi terpaksa membeli air bersih pada kadar RM7 bagi setiap tong 200 liter.

Lebih memilukan, bekalan air itu perlu diambil sendiri daripada tanah besar sebelum dibawa pulang ke Pulau Gaya untuk digunakan penduduk setiap hari.

“Satu lagi projek pelik di Semporna adalah projek paip air dasar laut bagi membekalkan air bersih dari tanah besar ke Pulau Gaya.

“Projek ini amat penting kerana kebanyakan penduduk pulau terpaksa membeli air yang diangkut secara manual dari tanah besar dengan harga RM7 setong (200 liter).

“Projek ini akhirnya disiapkan pada bulan September 2015 dengan kos RM93 juta. Sepatutnya selesailah masalah penduduk.

“Rupa-rupanya tidak. Bekalan air mentah tidak dapat disalurkan kepada penduduk kerana tiada paip pengagihan ke setiap rumah.

“Air hanya sampai ke tangki besar di atas bukit sahaja. Akhirnya masalah sama berulang.

“Penduduk Pulau Gaya yang kebanyakannya berpendapatan rendah terpaksa membelanjakan ratusan ringgit sebulan hanya untuk bekalan air yang terhad.”

Kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kes calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah itu berkaitan pecah amanah yang digugurkan sebelum ini.

Menurut Abdul Azeez, ketika Mohd. Shafie menjadi Menteri KKLW, sejumlah dana diberikan kepada beliau untuk membantu Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Dana tersebut dikatakan berjumlah RM7.6 bilion.

“Daripada dana RM7.6 bilion tersebut, KKLW telah melaksanakan 350 projek di kawasan luar bandar Sabah iaitu 170 projek bekalan air, 163 projek jalan raya dan 17 projek bekalan elektrik.

“Banyak kan? Tetapi kenapa masalah kemudahan asas terus berlaku di negeri ini?

“Sebenarnya terdapat 70 projek bernilai RM1.5bilion telah didapati bermasalah dan disiasat SPRM.

“Sangat ramai individu yang ditahan termasuklah Shafie dan beberapa anggota keluarganya.

“Antara projek yang disiasat SPRM ketika itu adalah pembinaan sebuah loji air di Semporna (kawasan Shafie sendiri).

“Projek yang bernilai RM45 juta ini gagal berfungsi kerana sungai terlibat cetek dan menjadikan bekalan air tidak mencukupi.

“Lebih memilukan, struktur loji tersebut dibina dua kali kerana binaan asal yang tidak mengikut spesifikasi.

“Apa yang berlaku kepada Shafie? Beliau akhirnya telah didakwa di mahkamah.

“Namun apabila PH berjaya mengambil alih kuasa Persekutuan pada Mei 2018, Peguam Negara lantikan mereka telah memutuskan untuk mengugurkan kes,” jelasnya.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, dilihat turut berada bersama para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain berkempen bagi menghadapi PRN Sabah.

Hari pengundian awal dan mengundi bagi PRN Sabah dijadualkan berlangsung pada 22 dan 26 September ini. – SM

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button