Belang Bertempat

PRN Melaka: Apa sebenarnya kehendak rakyat Melaka?

BEKAS Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik terpanggil untuk memberi maklumbalas berhubung ulasan yang tepat dan objektif (mengenai Penulisan Forecast Kedudukan Terkini Pilihanraya Umum Negeri Melaka oleh Sdra. Saiful iaitu Datuk Saiful Bahar Arshad) yang diterbitkan semalam.

Kajian penulis bebas atau free-lance seperti ini memang ada kelemahannya terutamanya si penulis miliki kecenderungan politik atau dalam istilah Bahasa Inggeris, political tendency untuk menyokong mana-mana pihak yang ia ada kepentingan tersembunyi.

Bagi rakyat negeri Melaka, pertimbangan untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tentunya berdasarkan apa yang sedang berlaku.

Dan apa yang berlaku baru-baru ini di Melaka dan di negara secara amnya pada penulisan Rahim diukur pada sudut seperti di bawah:

1. Kegagalan Pakatan Harapan (PH) sebagai Kerajaan dan cuma hidup setakat 22 bulan, memberi persepsi bahawa pergolakan politik dalaman di dalam PH yang amat teruk dan bagaimana kegilaan kuasa telah melumpuhkan PH walaupun ia diterajui oleh seorang bekas Perdana Menteri (PM) yang berpengalaman 22 tahun sebagai PM sebelum ini.

Rakyat masih ingat bagaimana kerakusan pemimpin-pemimpin PH ingin menumbangkan PM (Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang mereka pilih sendiri dan dalam kegilaan serta kerakusan berebut kuasa, PH tidak langsung mempunyai keupayaan menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat dan negara telah ditadbir secara lintang pukang tanpa halatuju dan pengisian komitmen yg telah dijanjikan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Inikah jenis kepimpinan dan pentadbiran yang diidam-idamkan oleh rakyat Melaka?

Pastinya rakyat Melaka mempunyai daya penilaian yang baik untuk menolak sebuah Kerajaan yg rakus dan tidak ada halatuju.

Perjuangan PH adalah sinonim dengan perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bermatlamat semata-mata untuk meletakkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Satu perjuangan berorientasi peribadi yang telah digerakkan sejak tiga dekat yang lalu.

2. Rakyat Melaka juga bijak melihat dan menilai perjuangan dan prestasi UMNO masa kini.

Tinjau punya tinjau, penilaian rakyat Melaka lagi teruk terhadap UMNO.

Sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan-kepentingan agong dan asasi Melayu menjadi rosak binasa bila parti ini mula dipenuhi oleh anasir-anasir yang menyeleweng dari asas perjuangan asal.

Tidak ada parti yang mengamalkan demokrasi di dalam laluan sejarah dunia ini yang dipimpin oleh seorang pemimpin yg sedang didakwa di Mahkamah dengan puluhan perbuatan jenayah dan korap. Orang ini masih boleh memimpin sebuah parti yg kononnya memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Rakyat Melaka tahu dan sedar bahawa sehingga sekarang, tiada seorang pun pemimpin UMNO yang berani bersuara untuk menjuarai gerakan membenteras rasuah dan penyelewengan yang menjadi punca utama dan barah kepada keruntuhan sesebuah perjuangan, Kerajaan atau intergriti kepimpinan secara menyeluruh.

Itu apa yang berlaku di Pusat .

Di Melaka pula, rakyat Melaka melihat dengan mata mereka sendiri betapa goyah dan londehnya kewibawaan pemimpin Kerajaan UMNO yang bergusti dan berkelahi bermati-matian untuk merebut kawasan-kawasan pasir dan aset-aset serta projek-projek Kerajaan yang lain sehinggakan terpaksa menikam sahabat-sahabat sepasukan menjadikan Kerajaan yang mereka sendiri terajui dan pimpin, tumbang dan tumpas.

Biasanya dalam sejarah dunia, kejatuhan sesebuah Kerajaan atau Empire adalah disebabkan perebutan kuasa di kalangan pemimpin-pemimpin tetapi di Melaka ini agak berbeza sedikit.

*KERAJAAN JATUH TERGOLEK KERANA BEREBUT PASIR.*

Seluruh rakyat Malaysia tersenyum dan tergelak kerana mereka tahu slogan popular Melaka adalah *”MELAKA DI MANA SEMUANYA BERMULA,* atau *”MELAKA WHERE IT ALL BEGIN.”*

Rakyat Melaka pun pening dan tertanya-tanya, apa yang hendak di kempen oleh UMNO pada PRN Melaka ini?

Mereka yang buat taik dan jatuhkan Kerajaan, apa janji baharu yg hendak dibuat oleh UMNO di negeri Melaka ini?

Ada rakyat yang kata, “sudahlah jangan hendak temberang dan kong kalikong dengan kami. Kami sudah tahu segala-galanya.”

Ada pula yang menyampuk, “ini semua penyakit gila kuasa yang datangnya dari atas.”

*IKAN YANG BUSUK, BERMULA DARI KEPALANYA.*

3. Parti Bersatu walaupun masih kecil tapi mempunyai kewibawaan dan prestasi yang agak hebat atas dua perkara.

(i). Pertama bila berlaku Langkah Sheraton, rakyat tahu ia satu usaha dan strategi yang taktikal bagi menyelamatkan Perjuangan Rakyat majoriti dari keganasan perebutan kuasa yang sedang berlaku di dalam PH pada ketika itu.

Tidak ada harapan lagi bahawa perjuangan rakyat majoriti boleh dipertahankan apabila majoriti pemimpin di dalam PH memandang enteng dan tidak kesah tentang untung nasib bangsa Melayu di dalam Agenda Politik mereka.

(ii). Kedua, lahirnya Bersatu adalah untuk meneruskan perjuangan UMNO yang telah menjadi kusut-masai dan tersasar jauh dari perjuangan asal serta menolak indoktrinasi DAP di dalam PH yang berkonsepkan *MALAYSIAN MALAYSIA.*

Konsep yang akan memberi status setiap kaum adalah sama saja, sama-rata dan saling saksama walaupun rakyat berbangsa Melayu/Bumiputera berjumlah 68% dari segi populasi Malaysia tetapi menguasai ekonomi negara cuma 20% saja.

Adalah satu rahmat dari Allah SWT kepada negara ini bagi menyelamatkan posisi, destinasi dan destini rakyat majoriti di negara ini.

UMNO semakin kecundang selepas berlakunya PRN Sabah yang lalu.

Parti Bersatu yang dianggap parti kecil dan baru bertapak di “Negeri Di bawah Bayu” itu telah memenangi majoriti dari kerusi yang dipertandingkan adalah satu keajaiban politik.

Adakah sejarah politik Sabah akan mengalir di bumi Hang Tuah yang bersejarah ini ?

Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Penulis, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik adalah Ketua Menteri Melaka yang ke-6, dari tahun 1982 sehingga 1994. Beliau juga adalah bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia). – SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button