Politik

PRN Johor: Bukan soal kluster mahkamah, tetapi memberi peluang rakyat Johor memilih kerajaan yang stabil

Tan Sri Annuar Musa berpendapat adalah tidak benar bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan bagi membebaskan kluster mahkamah, apabila Barisan Nasional (BN) menang.

“Saya mendapati sukar untuk memahami logik pemikiran sedemikian. Malah saya merasakan ianya merupakan suatu penghinaan terhadap rakyat dan pengundi Bangsa Johor. Bagaimana mungkin soal kepentingan rakyat dan negeri Johor cuba diperkecilkan dan disempitkan menjadi isu individu dan personaliti tertentu semata-mata,” katanya.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, Johor, sebelum pembubaran DUN, sudah berada di bawah kepimpinan seorang MB daripada UMNO. Malangnya keadaan majoriti terlalu tipis mengakibatkan keadaan politik yang tidak stabil sehingga mengganggu fokus pentadbiran negeri. MB berpandangan beliau memerlukan mandat yang lebih kuat dan politik negeri yang lebih stabil agar beliau dapat menumpukan perhatian membela rakyat dan membangunkan negeri. Jelas, beliau memohon mandat rakyat dan menyerahkan kembali pilihan kepada rakyat.

“Tidak jelas, dari mana datangnya isu memberi kuasa kepada Kluster Mahkamah? Ia tidak lebih dari satu percubaan menyekat kebangkitan rakyat untuk bersama UMNO dan BN.

“Suka saya tegaskan, soal Kluster Mahkamah bukan isu Johor, malah bukan sama sekali isu PRN Johor, Melaka, Sabah, Sarawak atau mana mana negeri. Itu isu individu, persoalan undang-undang dan proses mahkamah,” katanya.

Setiap PRN, kata beliau, ada meritnya sendiri. Bagi PRN Johor, ia memberi mandat kepada rakyat Johor yang mahukan politik Johor yang lebih stabil, mandat yang lebih kukuh dan mengembalikan Johor kepada politik kemajuan dan pembangunan yang membawa kesejahteraan kepada negeri Johor.

Kata beliau, tidak wajar dan sama sekali tidak perlu mengheret rakyat Johor ke dalam sengketa peribadi di antara individu tertentu. Masalah individu dan urusan yang berkaitan undang-undang dan proses mahkamah juga tidak sepatutnya menjadi alasan untuk memperjudikan nasib rakyat Johor.

PRN Johor, katanya, perlu disambut oleh pengundi dan rakyat Johor demi kemajuan dan kesejahteraan Johor. BN dan jentera pilihanrayanya tidak akan mudah tersasar dgn provokasi yang bertubi tubi terhadapnya. UMNO dan BN akan terus memberikan fokus kepada rencana untuk memajukan negeri Johor. BN dan UMNO Johor akan terus membina keyakinan rakyat berdasarkan ‘track record’ UMNO dan BN Johor selama ini.

Rakyat Johor, ujar beliau, sudah merasai pengalaman dan mengenali semua parti dan personaliti. Sudah pasti atas pengalaman ini, rakyat Johor berupaya membuat penilaian sendiri. Rakyat Johor tidak akan tertipu sekali lagi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button