Luar Negara

Dos penggalak syarat status vaksinasi lengkap rakyat Australia

PERDANA Menteri Australia, Scott Morrison berkata,  penduduk di negara itu perlu mendapatkan suntikan dos penggalak sebagai syarat untuk mendapatkan status vaksinasi lengkap Covid-19.

Bagaimanapun, pelancong asing yang berada di negara kangaroo itu kekal memerlukan hanya dua suntikan vaksin Covid-19 untuk memasuki negara itu.

Semalam, Kabinet kebangsaan Australia mengesahkan garis panduan yang disemak daripada kumpulan penasihat vaksin negara itu bagi menetapkan status terkini inokulasi yang kini merangkumi dos penggalak.

Morrison berkata, status vaksinasi seseorang dianggap ‘tamat tempoh’ jika mereka tidak menerima dos penggalak dalam sama enam bulan daripada tarikh suntikan dos kedua.

Pihak berkuasa Australia mewajibkan vaksin hanya untuk beberapa pekerja barisan hadapan tetapi banyak syarikat perniagaan swasta termasuk syarikat besar, restoran dan peruncit mewajibkan inokulasi untuk memasuki premis masing-masing.

Australia antara negara yang paling tinggi liputan vaksinasi di dunia dengan 94% rakyatnya berusia 16 tahun ke atas sudah menerima dua dos vaksin.

Setakat ini, hampir 10 juta dos penggalak diberikan kepada penduduk di Australia.

Keputusan untuk mengekalkan syarat lengkap dua dos vaksin bagi pelawat yang memasuki negara itu hanya dibuat ketika pihak berkuasa bersiap sedia untuk membuka semula sepenuhnya sempadan Australia, dua tahun selepas mereka menutup sempadan bagi memperlahankan pandemik.

Sebagaimana keadaan di negara lain, Australia juga berusaha menangani penularan pantas varian Omicron.

Pihak berkuasa melaporkan, jumlah jangkitan baharu mencatatkan penurunan kepada 26,000 kes hari ini berbanding 30,000 kes semalam dengan Barat Australia dan Wilayah Utara masih perlu membuat laporan.

Sebanyak 48 kematian baharu telah direkodkan. Kemasukan ke hospital kekal dalam aliran menurun, dengan hampir 3,300 kes, jumlah terendah dalam tempoh lebih sebulan.

Sebahagian besar daripada jumlah wabak Australia iaitu sekitar 2.7 juta kes, dikesan sejak kemunculan varian Omicron pada akhir November manakala jumlah kematian setakat hari ini kekal 4,479 kes. – SM

 

(Visited 176 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button