PRK

PRK Kimanis bermula dengan penamaan calon

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bermula hari ini dengan proses penamaan calon pada pukul 9 pagi.

Keadaan cuaca yang baik membolehkan ramai penyokong parti yang bertanding hadir untuk berkumpul sebelum berarak ke pusat penamaan calon di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort dekat sini.

Penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN), masing-masing mula berhimpun berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort, sebelum berarak ke pusat penamaan itu.

Sementara itu, beberapa laluan menuju ke Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir ditutup dan dikawal anggota polis seawal 6.00 pagi ini.

Calon mempunyai tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan sebelum Pegawai Pengurus PRK Kimanis yang juga Pegawai Daerah Beaufort, Jupari@Jupry Etok mengumumkan nama calon yang layak bertanding kira-kira 11 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan, manakala penamaan calon pada 4 Jan dan pengundian awal 14 Jan.

Setakat ini, Warisan mengumumkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang, 67, sebagai calon manakala BN mempertaruhkan Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin, 48, pada pilihan raya kecil itu.

Beberapa calon yang bakal bertanding atas tiket Bebas juga dijangka mengemukakan borang pencalonan masing-masing.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Karim ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada PRU14, namun kalah dengan majoriti 156 undi kepada Anifah, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon lain daripada Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail pula meraih 1,300 undi. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button