Nasional

Hormati kuasa prerogatif PM gugur menteri

SETIAP Perdana Menteri mempunyai cara dan gaya beliau sendiri dalam melakukan sesuatu termasuklah melaksanakan rombakan Kabinet. Itu hak prerogatif beliau.

Sebabnya satu sahaja – beliau memerlukan barisan pasukan yang boleh bekerja dengannya untuk mendepani cabaran semasa.

Ini terutama dalam mempersiapkan kerajaan Pakatan Harapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 yang tempohnya tidak sampai tiga tahun mendatang ini.

PELANTIKAN DIBATAL

Tiada dua Perdana Menteri menangani sesuatu isu dengan cara sama. Ia bukanlah misteri seperti mana pengalaman Malaysia telah membuktikannya.

Hakikatnya, Perdana Menteri melantik menteri-menteri mengikut keperluan beliau. Kriteria pemilihan ini termasuklah populariti politik selain bakat serta tuah seseorang.

Pada masa sama, pelantikan seseorang menteri boleh dibatalkan pada bila-bila masa oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi tertakluk atas nasihat Perdana Menteri.

Apabila Yang di-Pertuan Agong ingin membatalkan pelantikan seseorang menteri atau mana-mana anggota pentadbiran, `nasihat’ Perdana Menteri diperlukan terlebih dahulu.

Tetapi jika Perdana Menteri ingin menamatkan perkhidmatan seseorang menteri, beliau hanya perlu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong dari sudut perlembagaan itu sudah memadai Fasal 5 dalam Artikel 43 Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa setiap menteri memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dan berdasarkan perlembagaan juga, menteri berkhidmat atas perintah di-Raja, maka baginda berhak menamatkan perkhidmatan menteri pada bila-bila masa walaupun tanpa nasihat Perdana Menteri.

KUASA PREROGATIF

Tetapi kerana Artikel 40 seterusnya menyatakan bahawa semua perkara yang rasmi yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong mestilah atas nasihat Perdana Menteri atau salah seorang anggota Kabinet, maka ia memberi pengertian yang sama, iaitu pelantikannya boleh
ditamatkan pada bila-bila masa oleh Perdana Menteri.

Justeru, Perdana Menteri memiliki kuasa prerogatif untuk melantik sesiapa sahaja anggota yang membarisi Kabinet beliau setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran.

Bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) misalnya, ia sama seperti Ketua Setiausaha Negara dalam Perkhidmatan Awam Malaysia yang merupakan suatu jawatan `ciptaan’ pentadbiran kerana tiada
diperuntukkan dalam Perlembagaan.

FUNGSI TPM

Walau bagaimanapun, pengalaman dan amalan di Malaysia selama 58 tahun sejak merdeka ini, Timbalan Perdana Menteri tetap dikurniakan dengan fungsi dan peranan tertentu sebagai timbalan kepada Perdana
Menteri.
Sejarah Kabinet sejak kemerdekaan 1957 telah diwarnai oleh pelbagai krisis yang mana kebanyakan peristiwa itu berpunca dari kancah politik dan ahli-ahli politik. Kabinet membuat keputusan ke atas semua perkara – politik dan bukan politik.
Dalam bentuk yang paling asas, politik adalah jentera penggerak kerajaan. Ia adalah dasar awam.

TERJEMAH MANDAT RAKYAT

Ahli-ahli politik mungkin terdiri daripada para doktor, peguam dan ahli perniagaan tetapi apabila beliau mengetuai kerajaan atau kementerian, beliau mesti berfikir dan bertindak sebagai seorang ahli politik.
Bagaimana seorang Perdana Menteri dan Kabinetnya mentadbir urus, membentuk sebuah negara Malaysia yang lebih baik dengan seimbang bergantung kepada kepintaran beliau dan pembantu-pembantunya.

Mandat dan kuasa yang diberikan oleh rakyat ini mesti diterjemahkan dalam bentuk dasar-dasar dan program yang teguh untuk meningkatkan gaya kehidupan.

Ini sememangnya diperlukan kerana sebuah kerajaan dan pentadbiran adalah sebahagian besarnya diolahkan oleh Perdana Menteri bersama semangat juang menteri-menteri dan keupayaan penjawat-penjawat awam dalam melaksanakan dasar-dasar.

Dalam bahasa politik, sesebuah kerajaan dikenali melalui Perdana Menterinya dan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.- SM

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button