PRK Kimanis: 6,000 wanita PH berkampung bantu jentera menangkan calon Warisan
Kira-kira 6,000 ahli Wanita Pakatan Harapan (PH) dari Sabah dan seluruh negara akan berkampung di Kimanis untuk berkempen bagi membantu jentera pilihan rayanya memastikan kemenangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.
Ketua Penerangan Wanita PH Pusat Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata jentera Wanita PH kini berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berkempen bagi bersama-sama memastikan kemenangan berpihak kepada calon dipilih mewakili Warisan pada pilihan raya berkenaan.
“Secara keseluruhannya, lebih kurang 6,000 Wanita PH akan berkampung di Kimanis dengan kira-kira 300 ahli akan digerakkan pada satu-satu masa (untuk berkempen) mengikut kawasan (dalam Parlimen Kimanis).
Jentera Wanita PH juga akan bergerak mengikut satu lambang iaitu lambang parti bertanding pada pilihan raya kecil ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jentera Penerangan Wanita PH di Kimanis, hari ini.
Ini juga sekali gus menunjukkan perpaduan antara PH dengan parti mesra PH iaitu Warisan dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), katanya lagi.
Mesyuarat itu sepakat untuk melantik Ketua Wanita PH Sabah Jannie Lasimbang sebagai Pengarah Jentera Wanita PH PRK Parlimen Kimanis dan jentera itu akan dilancarkan pada 4 Jan, 2020.
Aiman yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional berkata jentera Wanita PH yakin akan dapat mengambil alih kerusi Parlimen Kimanis, yang sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN), dengan adanya kerjasama utuh antara PH, Warisan dan UPKO dalam memastikan kejayaan pada pilihan raya tersebut.
Sementara itu, Jannie berkata, PRK Parlimen Kimanis ini penting dalam usaha memperkukuhkan lagi kerjasama sekali gus memperlihatkan bahawa PH, Warisan serta UPKO di Sabah bersatu hati, dan jentera Wanita PH akan memanifestasikan kesatuan itu dengan turun padang membantu kempen calon Warisan.
“Kami akan pergi ke kampung-kampung untuk bertemu rakyat, selain mengadakan tinjauan mesra di tamu kerana ia akan menjadi tumpuan penduduk,” katanya.
Pada 16 Dis lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan hadapan, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Jan, manakala pengundian awal akan dilaksanakan pada 14 Jan.
PRK Parlimen Kimanis diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen itu setelah Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
— BERNAMA