Nasional

PRK Chini, patuh SOP PKPP, jaga penjarakan – Ismail Sabri

MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi memberi peringatan khususnya mereka yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini agar patuh segala arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Walaupun ada kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tegas Ismail Sabri, itu tidak bermakna orang ramai boleh melanggar SOP.

“Mesti patuh arahan. Mesti ada penjarakan sosial seperti biasa iaitu sekurang-kurangnya satu meter dan jangan salam.

“Walaupun kita tahu orang kita nak juga bersalaman tetapi itu tidak perlu dan tidak boleh. Kalau boleh elak, elakkan,” kata Ismail Sabri sebentar tadi dalam sidang akhbar PKP hari ini.

Melahirkan rasa bimbang orang ramai melanggar arahan dan SOP PKPP, Ismail Sabri mengingatkan pengunjung restoran dan gerai-gerai makan di Chini agar menjaga jarak sosial.

“Tolonglah jaga social distancing atau penjarakan sosial. Jangan berlaku sesak-sesak di dalam restoran…

“Saya ingin mengingatkan orang ramai bahawa pihak polis, sama juga dengan unit task force akan berada di sekitar kita.

“Jika ada yang tertangkap, akhirnya kita diambil tindakan. Patuhilah SOP PKPP  kerana kita semua masih dipantau oleh task force.

“Jangan rasa apabila ada kelonggaran, mereka tidak perlu patuh pada SOP,” katanya sambil menambah, polis telah mengadakan 60,427 pemantauan SOP PKPP.

Beliau menambah, 65 individu telah ditahan kerana ingkar arahan PKPP dan sebanyak 36 individu direman manakala 29 individu dikenakan kompaun.

“Ini bukti pihak berkuasa terus memantau,” ujar Ismail Sabri. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button