Nasional

PRK Batu Sapi: Kerajaan negeri Sabah harap SPR sedia SOP ketat

KERAJAAN Negeri Sabah berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah merangka prosedur operasi standard (SOP) khas bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi pada 5 Dis ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun, yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19, berkata SOP yang ketat perlu dirangka sebagai langkah memastikan risiko jangkitan virus itu dapat diminimumkan sepanjang proses PRK itu.

PRK Batu Sapi perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen kawasan  tu susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong daripada Parti Warisan Sabah pada 2 Okt lepas akibat jangkitan paru-paru.

“PRK ini tidak boleh dielakkan kerana ia sesuatu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan (iaitu pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi).

“Harapan kita ialah SPR akan menyediakan SOP ketat yang dapat memastikan apa pun pergerakan pada PRK Batu Sapi nanti lebih terkawal dan tidak seperti yang berlaku semasa dan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah. Saya yakin dengan kebijaksanaan SPR,” katanya dalam sidang media COVID-19 Sabah di sini malam ini.

SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Batu Sapi pada 23 Nov manakala 1 Dis sebagai tarikh mengundi awal serta telah menghantar kad pengundi kepada 32,962 pemilih yang terdiri daripada 1,810 pengundi awal dan 31,152 pengundi biasa. – BERNAMA

(Visited 67 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button