Politik

Prinsip istiqamah bersama Islam jadikan Pas tidak menipu atau ditipu

PAS istiqamah bersama Islam menjadikan parti itu tidak menipu dan tidak boleh ditipu kerana menipu itu haram dan ditipu itu bodoh.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tetap matang dalam berpolitik. Parti itu mampu membaca perkembangan manusia yang boleh berubah kerana berada di alam yang boleh berlakunya perubahan.

“Pas yang beraqidah Islam mengikuti gerakan politik yang dinamik, bukan parti yang jumud dan sempit fikirannya.

“Hala tuju Pas tidak hanyut disebabkan oleh arus dan gelombang dalam mengharungi perjuangannya,” kata Abdul Hadi.

Menurut Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu, perubahan pendekatan yang berlaku kepada Pas bukan kerana perubahan kepimpinan.

Namun perubahan pendekatan parti itu kerana perubahan situasi, realiti dan mampu membaca sepak terajang politik sendiri dan sepak terajang pihak lain daripada kalangan kawan dan lawan.

Jelasnya, parti tersebut mempunyai kaca mata dan kaca teropong yang putih bersih sehingga dapat melihat semua warna yang sebenar tanpa tersilap.

“Pas tidak boleh dikelirukan dengan kaca mata yang berwarna sehingga tidak kenal warna yang di luar atau warna yang diubah untuk mengelirukannya.

“Pas berpegang dengan konsep sejahat-jahat seorang Muslim yang beriman diterima taubatnya oleh Allah SWT, manakala sebaik-sebaik amalan orang yang tidak beriman akan ditolak juga pada hari kiamat nanti,” kata Abdul Hadi.

Menurutnya, Pas yang berdasarkan Islam memulakan langkah bersama parti yang bercirikan Melayu Islam, Cina, India dan lain-lain yang Muslim terlebih dahulu dan menerima pihak bukan Islam yang bersifat sederhana.

Pas menolak kalangan yang melampau sifat ekstrem sehingga menzalimi kaum lain yang berlainan agama dan bangsa.

“Pas juga menolak mereka yang bodoh bersifat ekstrem sehingga tiada jiwa Islam dan jiwa bangsanya sendiri walaupun dia seorang yang berbangsa Melayu mengaku Islam tetapi mahu menghilangkan bangsanya sendiri dan kononnya tidak mahu bersifat perkauman.

“Sehingga menjadi terlalu lemah jati diri Islam dan sehingga sanggup membiarkan Islam dihina dan bangsanya sendiri ditelan oleh pihak lain,” kata Abdul Hadi.-SM

(Visited 463 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button