Nasionalpilihan

Premis jualan kena kompaun RM27,500

Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengeluarkan sembilan kompaun berjumlah RM27,500 ke atas premis-premis jualan di sekitar negeri atas kesalahan yang dikesan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sepanjang 8 Januari hingga semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, sebanyak 30 buah premis pasaraya, kedai runcit dan pasar mini telah diperiksa bermula 8 hingga 19 Januari 2023 sepanjang operasi.

Menurutnya, Pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNM menerusi Ops Tahun Baru Cina (OPS TBC) 2023 itu, mengesan pelbagai kesalahan yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 termasuk penjualan makanan melepasi tarikh luput.

“Sebanyak 450 makanan bernilai RM2,381 dirampas atas pelbagai kesalahan, termasuk keadaan bungkusan, pelabelan serta barangan melepasi tarikh luput dan sembilan kompaun bernilai RM27,500 telah dikeluarkan.

“Rampasan dibuat akibat kesalahan daripada segi keadaan bungkusan dan pelabelan serta makanan tersebut telah melepasi tarikh luput,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu Rusdi berkata, JKNM berjaya menyita sebanyak 5,057 jenis barangan yang menyalahi Akta Makanan 1983 bernilai RM157,461.14 sepanjang tahun lalu.

Di samping itu katanya, pihaknya telah mengeluarkan 53 kompaun bernilai RM157,000 membabitkan pelbagai kesalahan.

Menurutnya, JKN turut menjalankan pemeriksaan premis makanan membabitkan 5,081 premis dengan 58 daripadanya diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 akta sama.

“JKN Melaka juga telah mengeluarkan sebanyak 1,664 notis di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai kompaun RM211,650,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan semua premis makanan termasuk restoran, kedai makan, gerai, pasar raya, kedai runcit dan pasar mini hendaklah menjaga kebersihan premis serta sentiasa memastikan makanan yang dijual tidak tamat tarikh luput serta mematuhi keperluan pelabelan makanan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button