Ekonomi

PRCA lantik dua pengamal perhubungan awam industri berbeza sebagai Exco

Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia mengumumkan pelantikan dua pengamal perhubungan awam dari industri berbeza sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco), buat pertama kali, semenjak penubuhannya pada tahun 1999.

Langkah ini merupakan salah satu strategi PRCA Malaysia untuk meluaskan jangkaun dan menggalakkan keahlian dalam kalangan pengamal perhubungan awam dari pelbagai industri.

Kedua-dua ahli terbaharu ini membawa pengalaman luas dari industri penyiaran, perbankan dan institusi pengajian tinggi.

Selaras dengan komitmen Persatuan untuk merangkumi semua aspek industri, PRCA Malaysia mengalu-alukan kehadiran Pengarah Program Perhubungan Awam dan Pensyarah Kanan, Pengajian Media dan Komunikasi, Taylor’s University, Marzura Abdul Malek dan Ketua Wilayah, Komunikasi Korporat Kumpulan CIMB, Tammy
Toh.

Latar belakang, kepelbagaian pengalaman dan kepakaran mereka dilihat sebagai aset penting dalam usaha PRCA Malaysia meneruskan misi mempromosi kecemerlangan serta mengetengah dan memberi penekanan kepada amalan beretika dan berintegriti.

Presiden PRCA Malaysia, Menurut Prof. Said Bani CM Din berkata, langkah dalam memperluaskan keahlian EXCO ini mencerminkan komitmen PRCA Malaysia terhadap keterangkuman dan kecermerlangan di samping mengukuhkan kedudukannya sebagai persatuan penting dan peneraju industri perhubungan awam dan komunikasi.

“Bersempena ulang tahun ke-25 PRCA Malaysia, pada Mesyuarat Agung Tahunan baru-baru ini, kami telah mengubah perlembagaan kami untuk membenarkan pelantikan pengamal perhubungan
awam dalam kalangan bukan perunding sebagai ahli EXCO. Langkah ini juga menunjukkan dedikasi Persatuan untuk meningkatkan keahlian dalam kalangan pengamal korporat dan akademia.

“Kami yakin representasi pengamal dari pelbagai sektor akan menyokong objektif kami untuk memacu inisiatif yang lebih berkesan dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada ahli kami. PRCA Malaysia amat berbesar hati dan mengalu-alukan Marzura dan Tammy. Kami pasti mereka dapat membawa perspektif baharu dalam persatuan,” katanya.

Mengulas tentang pelantikannya, Tammy Toh berkata: “Saya gembira diberi peluang untuk menyumbang kepada usaha berterusan PRCA Malaysia dalam meningkatkan standard perhubungan awam, membantu dalam pembangunan pengamal perhubungan awam ke arah mencapai tahap profesionalisma membanggakan.

“Malah, saya yakin dengan usaha berterusan, pendapat yang disuarakan oleh Persatuan ini akan mendapat perhatian sebagai ‘thought leader’ industri perhubungan awam dan komunikasi. Saya  berharap dapat membawa manfaat dan memberi sokongan melalui kerjasama dengan rakan-rakan jawatankuasa untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan industri ini.”

Sementara itu, Marzura Abdul Malek berkongsi rasa syukur dan rendah diri dipilih sebagai wakil akademik pertama yang dilantik sebagai Exco PRCA Malaysia.

“Pelantikan ini merupakan perubahan besar dan ketara dalam dunia Akademik Perhubungan Awam di Malaysia, dan pengiktirafan kepakaran saya oleh badan profesional terkemuka seperti PRCA
Malaysia adalah di luar jangkaan saya. Saya yakin bahawa profesion perhubungan awam ini dapat diketengahkan lagi dan dipertingkatkan di peringkat pengajian tinggi.

“Pelantikan ini adalah titik permulaan kerjasama bermakna antara akademia dan industri, dalam usaha mempersiapkan graduan kita untuk menjadi pengamal perhubungan awam yang cemerlang.”

Dengan perkembangan terbaharu ini, PRCA Malaysia akan terus memperkukuh usaha advokasinya sebagai ‘thought leader’, menyediakan program latihan yang komprehensif bagi pengamal, memberi penekanan yang lebih kuat terhadap aspek etika dan integriti, serta memupuk kerjasama yang lebih erat antara pelbagai sektor dalam industri perhubungan awam dan komunikasi.

Barisan ahli EXCO PRCA Malaysia bagi penggal 2024-2026 adalah Prof. Mohd Said Bani C.M. Din – Presiden (BzBee Consult); Lydia Chia – Naib Presiden (Roots PR); Stefanie Braukmann – Setiausaha Kehormat (Strategic Public Relations); Crystabelle Lau – Bendahari Kehormat (Vox Eureka); Andy See (Perspective PR); David Lian (Zeno Group) dan Yan Lim (iOli Communications). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button