
Prasarana tarik iklan kontroversi
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil langkah segera memperketat proses semakan iklan susulan kontroversi melibatkan visual iklan produk penjagaan diri pada salah satu tren Rapid KL di Laluan Ampang/Sri Petaling.
Syarikat pengendali pengangkutan awam itu menegaskan visual yang digunakan di gerabaknya bukan bertujuan menyentuh sensitiviti mana-mana individu atau komuniti.
“Visual iklan itu yang mempromosikan produk penjagaan diri bertujuan menggambarkan pelbagai situasi harian rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang menggunakan pengangkutan awam.
“Ia tidak menyasarkan mana-mana pihak,” menurut Prasarana dalam satu kenyataan.
Prasarana berkata visual terbabit telah melalui proses semakan dalaman dan luaran, termasuk penilaian dari aspek sensitiviti kaum, agama serta sosial sebelum dipaparkan.
Namun, susulan kontroversi berkenaan, pihaknya telah menarik balik iklan itu daripada tren yang terlibat.
“Visual iklan ini telah dikeluarkan daripada tren perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling setelah menerima maklum balas daripada pengguna,” menurut kenyataan itu.
Prasarana berkata pihaknya menghargai pandangan dan keprihatinan masyarakat, khususnya apabila melibatkan kemungkinan salah tafsir terhadap kandungan iklan yang dipaparkan di aset kendaliannya.
“Kami berterima kasih atas sokongan dan perhatian berterusan orang ramai terhadap perkhidmatan pengangkutan awam. Sebagai operator bertanggungjawab, kami komited untuk memastikan kandungan iklan sentiasa sensitif dan sesuai dengan nilai masyarakat majmuk negara ini,” menurutnya.
Baru-baru ini, tular di media sosial satu hantaran mempersoalkan elemen visual iklan berkenaan yang dianggap menyentuh sensitiviti komuniti tertentu, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warga maya.