Portal disekat akses bukan arahan kerajaan – Fahmi
KUALA LUMPUR : Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengesahkan tiada sebarang arahan dikeluarkan untuk menyekat mana-mana portal berita di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil menjelaskan, beliau mengambil maklum sebuah laporan portal berita yang melaporkan senario ‘misteri’ tidak dapat diakses sepenuhnya oleh pengguna internet.
“Tiada sebarang arahan untuk menyekat mana-mana media atau portal berita,” kata Fahmi dalam mesej ringkasnya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Sejak petang Selasa, laman sesawang MalaysiaNow tidak dapat diakses oleh sebahagian besar pembaca.
Menurut laporan portal tersebut, siasatan pakar teknikal mereka bagaimanapun tidak menunjukkan apa-apa aktiviti luar biasa terhadap server portal tersebut.
“Kami juga mendapati tiada sebarang serangan ke atas laman sesawang kami,” lapor Malaysianow.
Berdasarkan pemantauan Astro AWANI pada Selasa, wujud keadaan di mana pengguna dua rangkaian mudah alih utama di Malaysia tidak dapat mengakses laman web tersebut dan ada juga yang masih boleh mengakses portal tersebut.