Nasional

Polis tahan MPV temukan 492 karton rokok seludup bernilai RM70,000

MELAKA 17 Februari – Seorang lelaki yang leka memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova terkejut apabila ditahan sepasukan polis berhampiran Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Hasil penahanan kenderaan itu, polis menemukan 492 karton bersamaan 73,056 batang rokok dipercayai seludup tanpa cukai dan kesemua rampasan itu bernilai RM70,000.

Turut dirampas ialah kenderaan MPV dan tiga telefon bimbit yang digunakan oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mendapat maklumat awal, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Daerah telah mengekori kenderaan tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun sebelum ditahan di pintu gerbang Ayer Keroh.

Menurutnya, lelaki berkenaan yang bertindak sebagai ‘penghantar’ ketika itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas mengambil rokok seludup tersebut di Malim dekat sini.

“Hasil pemeriksaan polis berjaya menemukan 492 karton rokok bersamaan 73,056 batang rokok tanpa cukai dan dipercayai rokok seludup.

“Suspek hanya datang ke parkir di Malim dan terus memandu MPV yang telah dimuatkan rokok seludup untuk dihantar ke Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Patit berkata, lelaki berkenaan dibayar upah RM200 untuk menghantar rokok seludup tersebut ke satu lokasi yang akan dimaklumkan selepas melepasi Plaza Tol Sungai Besi.

Hasil siasatan katanya, kenderaan MPV yang dipandu suspek didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Menurutnya, suspek kini direman sehingga 19 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. -SM

(Visited 392 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button