Jenayah

Polis Melaka patahkan sindiket seleweng minyak diesel

Polis Melaka berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi hasil daripada satu serbuan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Krubong, Melaka petang semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dalam serbuan pukul 2.00 petang itu polis turut menahan tiga lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing.

Menurutnya, hasil siasatan dua daripada lima lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau dan kes dadah.

Katanya, dua penjaga setor rakyat tempatan seorang berusia 41 tahun mempunyai 10 kes dadah dan tiga kes jenayah manakala seorang lagi berusia 37 tahun pula mempunyai satu rekod jenayah dan satu jenayah komersil.

lima lelaki yang ditahan reman selama tiga hari di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka.

Bagaimanapun katanya, dua warga Bangladesh berusia 46 dan 55 tahun seorang bekerja sebagai pemandu lori dan pekerja di premis berkenaan serta seorang lagi pemandu rakyat tempatan berusia 54 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori yang berada di premis berkenaan telah menemui minyak diesel bersubsidi berjumlah 12,150 liter di bahagian tanker belakang kenderaan itu.

“Polis juga turut menemui dua tangki besi, 20 unit skitank, tiga set pam minyak serta satu hos lutsinar dengan keseluruhan rampasan bernilai RM106,122.50.

“Cara sindiket ini beroperasi bermua dengan minyak diesel diambil daripada depot minyak di Port Dickson, Negeri Sembilan dan dijual kepada peraih dengan harga lebih murah bergantung pada harga minyak semasa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Serbuan tersebut dilakukan cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Pasukan Risik Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri, Muar, Johor dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka.

Zainol berkata, hasil daripada intipan yang dilakukan dengan mengekori lori dengan muatan minyak diesel sehingga kenderaan itu masuk ke dalam setor di premis yang diserbu.

Sementara itu Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, minyak diesel bersubsidi yang dirampas itu ditempatkan dalam tangki simpanan khas dipercayai akan dijual kepada pihak industri dengan harga lebih murah berbanding daripada pasaran.

Menurutnya, sewaktu serbuan dibuat lelaki berkenaan termasuk dua pekerja warga Bangladesh berusia antara 20 hingga 40-an sedang memindahkan minyak diesel yang diseleweng ke tangki simpanan di premis tersebut.

“Pekerja terbabit akan menggunakan lori satu atau tiga tan yang membawa tangki khas boleh memuatkan 1,000 liter diesel untuk mengisi minyak di beberapa stesen minyak sekitar Melaka.

“Tangki tersebut akan diisi diesel bersubsidi antara RM300 hingga RM500 dan akan dijual kepada industri dengan harga serendah RM4 seliter berbanding harga industri RM5.15 seliter.

“Cukup jelas modus operandi mereka ini mampu mengaut keuntungan berlipat ganda antara RM2 seliter hasil diesel yang diseleweng,” ujarnya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di Kawasan Perindustrian Krubong hari ini.

Hasil siasatan ke atas suspek yang ditahan beliau berkata, premis tersebut dipercayai baru beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Namun katanya, hasil siasatan menyeluruh di premis berkenaan dipercayai mereka telah beroperasi lebih daripada enam bulan berdasarkan kelengkapan sedia ada di situ.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun bagi individu manakala bagi syarikat pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan pertama atau RM5 juta bagi kesalahan kedua.

Dalam pada itu KPDNHEP berjaya mendapatkan perintah tahanan reman selama tiga hari sehinga Ahad ini ke atas lima lelaki berkenaan. Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohd. Izuan Mohd Noor di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. – SM

(Visited 427 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button