Nasionalpilihan

Polis Melaka janji siasat tanpa berat sebelah

Dakwaan kereta peronda polis langgar remaja menaiki motosikal hingga maut

Polis akan menyiasat dakwaan sebuah kereta peronda pacuan empat roda yang dikatakan merempuh seorang penunggang motosikal berusia 18 tahun maut di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal awal pagi 1 Syawal pada Rabu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci secara telus dan profesional berhubung dakwaan tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diharap dapat membantu menyalurkan maklumat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebarang maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222 untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta
Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Dalam kejadian pagi 1 Syawal kira-kira pukul 2.56 pagi itu remaja
berkenaan Mohammad Khairul Basahri, 18, tercampak beberapa meter
sebelum terjatuh selepas dikatakan kereta peronda berkenaan melanggar mangsa.

Azrul Mohamed berjumpa dengan keluarga mangsa di di Unit Forensik Hospital Melaka.

Beberapa rakaman klip video berhubung kejadian tersebut tular di media sosial sejak semalam menyebabkan kemarahan orang ramai terhadap anggota berkenaan kerana didakwa sengaja merempuh mangsa.

Sejak semalam tular video bertajuk ‘Polis langgar budak motor’
berdurasi 40 saat yang memaparkan beberapa individu memarahi seorang lelaki dipercayai pemandu peronda polis berkenaan kerana didakwa sengaja melanggar mangsa.

Mengulas lanjut Zainol berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pukul 12.37 pagi tadi ketika menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat kecederaan dalaman yang serius selain patah kaki dan paha.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kenderaan
polis dipandu seorang anggota lelaki berusia 37 tahun sedang dalam
tugas rondaan cegah lumba haram.

“Rondaan dibuat apabila Balai Polis Durian Tunggal menerima aduan awam berkaitan ramai individu berkumpul mengadakan aktiviti lumba motosikal dan membuat bising di lampu isyarat Gangsa,” katanya.

Tambahnya, sebaik sampai di lokasi, kenderaan itu menyalakan lampu mata arah dan siren untuk memberitahu kehadiran polis menyebabkan sekumpulan penunggang motosikal melarikan diri dari pelbagai arah.

Katanya, semasa hendak membelok ke kanan dari Durian Tunggal ke Gangsa, tiba-tiba datang motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa dari arah bertentangan merempuh hadapan 4×4 terbabit.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai sekiranya dikesan melakukan sebarang kesalahan yang menyebabkan nahas berlaku

“Kita ingin memaklumkan pihak PDRM tidak akan berkompromi ke atas anggota dan pegawai yang terlibat dan tindakan tegas akan diambil, tiada unsur berat sebelah,” katanya ketika melawat keluarga mangsa di Hospital Melaka hari ini.

Katanya, beliau telah bertemu dengan keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Melaka dan jenazah Mohammad Khairul akan diiring oleh pasukan polis untuk dibawa ke tanah perkuburan Islam bagi pengebumian.

“Segala kos memandikan serta mengkafankan jenazah ditanggung oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan jenazah akan dibawa menggunakan van PDRM dengan pergerakan van akan dieskot oleh pihak MPV,” ujarnya. – SM

(Visited 74 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button