JenayahNasional

Polis buru 2 suspek langgar lari, curi kereta

DUA lelaki yang menaiki Perodua Myvi didakwa melarikan diri selepas melanggar mati seorang penunggang motosikal dan kemudiannya melarikan sebuah kereta lain di Lebuh Raya Pantai Timur 2, (LPT2), dekat Cheneh, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 tengah hari, kereta terbabit telah merempuh belakang motosikal ditunggang Zolkfli Ahmad, 57, di Kilometer (KM) 269 LPT 2 dan penunggang motosikal berkenaan meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kemalang berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke rumahnya di Kerteh.

“Sebuah kereta melanggar bahagian belakang motosikal itu sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang di situ dan meninggal di tempat kejadian akibat parah di kepala.

“Bagaimanapun, kedua-kedua suspek melarikan diri menuju ke arah Kuala Terengganu, tetapi terpaksa berhenti di tepi lebuh raya kerana kereta mereka mengalami kerosakan,” katanya.

Menurut Hanyan, seorang pengguna lebuh raya yang berhenti untuk memberi pertolongan kepada mangsa bertindak mencari kereta suspek yang berjaya ditemui kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Tambahnya, suspek dipercayai terpaksa memberhentikan kenderaan dinaiki mereka itu di tepi lebuh raya kerana mengalami kerosakan.

“Pemuda terbabit bertanya kepada kedua-dua suspek kenapa tidak berhenti selepas melanggar mangsa dan ketika itu.

“Namun, kedua-dua suspek kemudian bertindak masuk ke dalam kereta pemuda itu sebelum memecut kenderaan itu dan melarikan diri.

“Pemuda tersebut kemudiannya datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira-kira jam 3 petang untuk membuat laporan polis,” katanya.

Hanyan berkata, polis sedang memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Dalam pada itu, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik, Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button