Acara

Semua anggota askar wataniah diseru tingkatkan keaktifan

SEMUA anggota sukarela Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia diseru supaya sama-sama meningkatkan keaktifan dalam menghadiri semua latihan dan aktiviti yang dirancang.

Setiap anggota baik pegawai mahupun anggota lain-lain pangkat juga haruslah sentiasa berusaha bagi meningkatkan tahap kompetensi dan ‘S.K.A.’ iaitu ‘Skill, Knowledge, Attitude’ masing-masing. Justeru, tindakan itu perlulah disertai dengan ikhlas dan jujur, dan bukan dengan bermain di bibir sahaja.

Demikian titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri sesi taklimat Program Eks PERBAH 2025 yang diadakan di Dewan Syed Faizuddin Putra, Kem Bukit Keteri.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Lt. Kol Lasahi Laiji.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah mengingatkan semua bahawa setiap anggota merupakan ejen rejimen bagi membawa kenalan dan taulan untuk turut serta menganggotai pasukan simpanan kebangaan negara kita ini.
Baginda turut berharap agar semua pihak sentiasa memperbaharui azam agar Perlis tercinta ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur hendakNya.

Tuanku Raja Muda juga berharap agar setiap inisiatif yang diambil berimpak maksima kepada semua pihak terutamanya kepada barisan anggota sukarela.

Usaha berterusan hendaklah dijalankan oleh pihak rejimen dalam memastikan perkara rejimental dan penglibatan agensi awam sentiasa wujud dalam jaringan kolaborasi strategik dan mobilisasinya. Dalam masa yang sama, Key Performance Indeks (KPI) rejimen tersebut mestilah dicapai dan digarap melalui penglibatan pihak awam khususnya Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button