PN, PH berentap dua penjuru di Sungai Bakap
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
PN telah meletakkan Abidin Ismail dari Pas, dan PH diwakili oleh Joohari Ariffin dari PKR.
Abidin, seorang eksekutif logistik berusia 56 tahun, adalah bekas pembantu kepada Nor Zamri Latiff, yang meninggal dunia pada 24 Mei menyebabkan kerusi DUN itu kosong.
Joohari, 60, adalah bekas pensyarah Institut Aminuddin Baki di Kedah, dan pernah berkhidmat sebagai guru di sekolah awam, sebelum ini.
Pencalonan mereka diumumkan oleh pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya Khairulnizam Hashim di Dewan Serbaguna Jawi di Taman Desa Jawi di Nibong Tebal selepas penamaan calon ditutup pada 10 pagi hari ini.
Pada pilihan raya negeri Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri, yang juga Ketua Pas Nibong Tebal, menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi dalam pertarungan dua penjuru.
Terdahulu, Joohari tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi penyokong dan pemimpin parti dalam kerajaan perpaduan, termasuk Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng.
Turut hadir Pengarah Strategik Amanah, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Timbalan Ketua Penerangan PKR 1 R Ramanan.
Sementara itu, Abidin diiringi Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Bersatu, Dr Radzi Jidin dan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Serio Mohamad Sanusi Md. Nor.
Turut hadir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Pas, Datukc Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob.
Terdapat 39,279 pengundi berdaftar di Sungai Bakap, terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 pegawai polis.
Pengundian awal akan diadakan pada 2 Julai. – SM