PMKS Bumiputera perlu manfaatkan peluang, sumber – Muhyiddin
PERUSAHAAN Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera perlu memanfaatkan segala peluang dan sumber yang ada untuk mengharumkan nama Malaysia di pasaran tempatan dan antarabangsa melalui pengeksportan produk tempatan.
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin percaya berkat kesungguhan dan komitmen semua pihak, usahawan tempatan khususnya Bumiputera mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan usahawan negara maju.
“Dalam hal ini, kerjasama dan jaringan perniagaan perlu diperkukuhkan dalam kalangan peniaga tempatan dan Bumiputera bagi mewujudkan sebuah komuniti perniagaan yang berdaya saing dan saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Pendigitalan Perniagaan serta perasmian Produk Smart Bio Sureco dan Buletin Penggerak Wawasan hari ini.
Program tersebut inisiatif Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Abd. Rahim Tamby Chik dan MelakaFirst yang diketuai oleh Aflieza Arshad.
Muhyiddin berkata, pelbagai inisiatif bantuan telah disalurkan kepada PMKS menerusi lapan Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini antaranya Geran Khas Prihatin, Skim Pembiayaan PKS, Kempen e-Dagang dan pinjaman mikro kredit khusus untuk membantu para usahawan supaya dapat kekal berdaya saing dalam mendakap transformasi digital.
Malah pada 19 Februari lalu, Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinannya sebelum ini telah melancarkan MyDigital yang merangkumi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia iaitu pelan halatuju transformasi digital yang mampu mengupayakan sektor perniagaan untuk bersaing di pentas global.
Tambah Muhyiddin, bagi menyokong agenda digitalisasi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan di bawah pimpinannya juga telah menyediakan pelbagai bantuan dan dana. Antaranya geran padanan sehingga RM5,000 bagi pembelian sistem atau langganan platform digital selain kemudahan mikrokredit yang disediakan oleh Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.
Malah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Agenda Memperkasa Bumiputera menjadi satu daripada sembilan fokus utama kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
“Saya amat yakin pelbagai langkah dan usaha tambahan akan terus dilaksanakan oleh kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dalam situasi pandemik ketika ini.
“Di sini, peranan Majlis Pemulihan Negara yang saya pengerusikan akan menjadi lebih penting untuk memastikan usaha-usaha pemulihan ekonomi negara dapat direalisasikan,” katanya.
Tambah beliau, di sebalik pandemik yang melanda dan pelaksanaan PKP terdapat hikmah yang tidak disangka-sangka.
Ini kerana semakin banyak PMKS muncul menjalankan perniagaan dalam talian yang memberi sumber pendapatan baharu dan peluang pekerjaan, sekaligus menyumbang kepada ekonomi digital negara.-SM