Nasional

PM perlu nilai semula keputusan batal projek tebatan banjir RM7 bilion

Kerajaan negeri meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menilai semula keputusan yang dibuat berhubung arahan beliau beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, Melaka adalah antara negeri yang paling teruk terjejas kerana antara empat hingga lima projek tebatan banjir telah dilaksanakan di peringkat awal sejak September lalu.

Menurutnya, jika projek yang telah dilaksanakan itu dibatalkan kerajaan negeri mungkin akan menanggung kerugian yang besar.

Beliau berkata, masalah banjir menjadi isu paling utama di negeri ini dan keseluruhan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM932 juta yang dirancang serta telah dilaksanakan di Krubong, Sungai Duyong, Jasin, Alor Gajah dan Merlimau.

“Saya mohon Perdana Menteri untuk melihat semula kawasan-kawasan terutama RTB yg perlu disiapkan segera bagi menggelakkan lagi isu-isu banjir terus berlaku di Melaka.


“Keseluruhan projek antara empat atau lima telah bermula di peringkat awal pada September tempoh hari. Saya tahu ada beberapa projek runding terus tetapi ada yang bukan runding terus.

“Justeru, saya mohon Perdana Menteri untuk mempertimbangkan dan menilai semula kawasan-kawasan RTB yang perlu diberi kelulusan bagi menangani masalah banjir yangmenjadi isu utama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Seri Duyong yang telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di sini hari ini.

Sulaiman diminta mengulas kenyataan Anwar mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender supaya diteliti semula.

Perdana Menteri berkata, kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri turut menyokong cadangan Anwar untuk meneliti semula projek terbabit terutama bagi projek rundingan terus.

Begitupun katanya, jika projek yang telah dilaksanakan terpaksa dibatalkan atau disiasat semula ia akan menjejaskan usaha kerajaan negeri dalam menangani masalah banjir yang kerap berlaku di negeri ini. – SM

(Visited 46 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button