Nasional

PM, MB Selangor, Menteri Kesihatan lawat PKRC MAEPS

PESAKIT dan pasukan frontliners di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS) menerima kunjungan Perdana Menteri hari ini.

Turut bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Muhyiddin dilapor bangga dengan usaha petugas barisan hadapan dalam memastikan penjagaan pesakit dan penyediaan fasiliti berada dalam keadaan terbaik.

Malah, beliau juga bangga dengan kemampuan PKRC MAEPS yang dapat memberikan perkhidmatan luar biasa dalam situasi luar biasa.

“Untuk Untuk makluman, tujuh buah dewan telah digunakan dengan kapasiti maksimum 10,000 katil dan sehingga hari ini, sebanyak 9,200 katil sedang digunakan.”

Muhyiddin berkata demikian dalam lawatan tersebut sebentar tadi dan turut memaklumkan kemudahan PKRC di sana sedang dalam proses menaik taraf bagi membolehkan rawatan kepada pesakit kritikal.

“Fasiliti ini juga sedang dinaik taraf secara berfasa untuk dijadikan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0. Setelah dinaik taraf, fasiliti ini boleh merawat 30 pesakit Covid-19 berisiko tinggi dan juga mampu merawat 10 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen sehinggalah ke bantuan pernafasan,” jelasnya.

Dalam kesempatan itu, beliau juga memaklumkan mengambil peluang untuk berinteraksi dan bermesra dengan pesakit-pesakit Covid-19 serta para petugas di sana.

Katanya, beliau mendoakan kepada semua pesakit Covid-19 dan pasukan petugas barisan hadapan terus bersemangat, tabah dan diberikan kekuatan untuk berhadapan penularan pandemik ini.

“Saya juga berpeluang untuk berinteraksi dengan pesakit-pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin di salah sebuah dewan di situ.

“Alhamdulillah, mereka semua kelihatan bersemangat, ceria dan berpuas hati dengan perkhidmatan serta rawatan yang diberikan.

“Pada sesi interaksi itu, saya mengingatkan mereka supaya kuat semangat dan banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian ini.

“Tidak lupa juga saya mengambil kesempatan bertemu dengan para frontliners kita yang bertugas di pusat itu.

“Saya sangat bangga melihat kesungguhan serta kesabaran mereka dalam melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan memberikan rawatan yang terbaik buat semua pesakit,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button