Nasional

PM lega 90% kes Covid tahap 1, 2 namun KKM diarah terus bersedia

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yakin Malaysia akan menang dalam usaha menurunkan bilangan jangkitan wabak Covid-19.

Menurut Muhyiddin, beliau berasa lega dengan pejelasan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bahawa 90 peratus kes positif COVID-19 dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan dan mampu untuk pulih semula.

Bagaimanapun, Muhyiddin tetap meminta supaya Kementerian Kesihatan terus bersedia kerana dunia ketika ini sedang berhadapan dengan trend kenaikan jangkitan disebabkan varian baharu Covid-19.

“Ini memandangkan dunia sedang mencatatkan trend kenaikan kes-kes COVID-19 dengan kemunculan varian-varian baharu yang lebih ganas.

“Kita semua sedang berusaha untuk melawan COVID-19. Kita mesti sentiasa tabah dan cekal untuk terus lawan dan lawan. Insya-Allah, kita akan menang akhirnya,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.


Sementara itu data pihak berkuasa menunjukkan kes COVID-19 tahap serius juga mencatatkan penurunan ketara selepas usaha pemberian vaksin secara besar-besaran kepada rakyat.

Antaranya dalam kalangan kumpulan warga emas berusia 60 tahun ke atas menunjukkan trend kemasukan ke Hospital Sungai Buloh bagi kes positif kategori 4 dan 5 telah mengalami penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan yang lepas.

“Kumpulan warga emas adalah fasa 2 dalam pemberian vaksin COVID-19 dan kini impak positif pemberian vaksin ini mulai dapat dilihat.

“Begitu juga bagi petugas KKM di mana mereka telah menerima vaksin COVID-19 lebih awal lagi. Didapati hanya 1.26 peratus dalam kalangan petugas KKM dijangkiti COVID-19 selepas lengkap divaksinasi.

“Sebanyak 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala dan tiada yang mengalami COVID-19 kategori 5,” katanya.

Labuan yang menjadi lokasi pertama varian delta iaitu varian virus yang lebih berbahaya mula dikesan turut mencatatkan penurunan selepas jumlah penerima vaksin ditingkatkan.

Tambah Muhyiddin pelaksanaan ‘Operation Surge Capacity’ di Kuala Lumpur dan Selangor adalah tindakan segera kerajaan untuk menangani kenaikan kes-kes positif secara mendadak di kawasan terbabit.

Menerusi operasi itu 6.1 juta populasi dewasa di KL dan Selangor akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 menjelang 1 Ogos 2021.

Ia melibatkan pemberian vaksin pada kadar 1.3 juta dos sehingga 25 Julai dan 1.3 juta dos lagi antara 26 Julai hingga 1 Ogos 2021.

Sehingga kini, 3.5 juta populasi dewasa di Selangor dan KL telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.-SM

 

 

(Visited 150 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button