Rencah Hidup

Bubur roti kapal dari “legenda” kini kembali “viral”

BUBUR roti kapal, lama tenggelam kerana generasi muda hari ini tidak dibiasakan dengan makanan orang dulu-dulu sehingga ia dikelaskan  “legenda”. Tapi jangan sangka bubur roti kapal kini kembali viral kerana pada sesiapa yang sudah merasa pastinya akan “jatuh hati” dengan keenakannya.

Bubur roti kapal makanan orang dulu-dulu.

Bubur yang berperisakan santan dan gula ini dimasak dengan roti kapal iaitu sejenis biskut tawar dan keras. Dek terkenangkan zaman masa kecil maka seorang pengusaha makanan, Hariza Abdul Rashid, 48, dari Kampung Simpang Geti, Mata Ayer dekat Arau, Perlis cuba menularkan bubur “legend” ini dengan membuka tempahan bubur roti kapal pada pelanggannya menerusi akaun Facebook (FB) pada pertengahan bulan lalu.

“Dulu nenek suka buat menu ini untuk minum petang, memang seronok makan ramai-ramai sampai berlemoih (comot) muka,” katanya yang mengusahakan ketupat palas sejuk beku yang boleh ditempah melalui talian 0174043665.

Hariza tidak menjangka sama sekali sambutan memang di luar dugaan.

“Disebabkan makanan orang dulu-dulu ingatkan masing-masing sudah lupa tapi sebenarnya sangkaan saya meleset sama sekali,” katanya.


Katanya lagi, rata-rata pelanggan yang membeli bubur roti kapal ini merasa seronok kerana dapat menggembalikan nostalgia di zaman kanak-kanak.

“Ada yang tempah lebih dari satu pek kerana mahu memperkenalkan kepada anak-anak dan cucu,” ujar beliau.

Roti Kapal.

Salah seorang pelanggan yang dikenali sebagai Nor Syarimah Said telah muat naik status di FBnya, “Bubur roti kapal yang dibuat Hariza sangat sedap,”.

Nor Syarimah berkongsi kegembiraan bersama rakan FBnya kerana berpeluang menikmati makanan ini yang dianggapnya penuh nostalgia semasa kecil.

Hariza berkata, beliau bernasib baik kerana roti kapal masih dijual di sebuah kedai runcit di kampungnya.

Beliau agak terkejut juga pada kerana harga biskut berkenaan telah melambung RM16 sekilogram.

Setakat ini Hariza menjual RM5 untuk satu pek bubur roti kapal.

Hariza juga cuba membuat bubur roti yang disejuk bekukan untuk dihantar kepada seorang adik angkatnya di Kuala Lumpur.

Bubur roti kapal mendapat sambutan.

“Walaupun tidak boleh balik kampung sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adik angkat saya masih boleh menikmati bubur roti kapal yang dirinduinya,” katanya yang bersedia menerima tempahan bubur roti kapal ini dari luar Perlis. – SM

(Visited 145 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button