Nasional

PM lawat mangsa banjir di Terenggganu

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini meninjau keadaan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini.

Perdana Menteri  yang tiba pada 1.20 tengah hari bersama beberapa pemimpin termasuk Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dibawa ke bilik taklimat terlebih dahulu bagi mendengar perkembangan terkini keadaan banjir di Terengganu.

Dalam lawatan kira-kira sejam itu, Muhyiddin turut meluangkan masa bertanya khabar dan beramah mesra bersama beberapa orang mangsa serta menyerahkan kit barangan keperluan asas.

Kunjungan kali ini adalah yang pertama ke Terengganu sejak beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 29 Feb lepas.

PPS SK Bukit Mentok mula dibuka Sabtu lepas untuk menempatkan 669 orang daripada 166 keluarga, namun kini hanya 483 mangsa daripada 140 keluarga yang masih berada di situ dan PPS itu dijangka ditutup petang ini.

Jumlah terkini mangsa banjir di Terengganu setakat pukul 2 petang ialah seramai 999 orang daripada 257 keluarga melibatkan daerah Kemaman dan Dungun.

Sementara itu, seorang pesakit strok Ismail Mamat, 56, berkata beliau teruja dapat bertentang mata dengan Muhyiddin kerana selama ini hanya melihatnya di televisyen. – BERNAMA

(Visited 242 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button