PM bertemu pelabur terkemuka, ikhtiar rancakkan pertumbuhan ekonomi
Sebagai ikhtiar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mendukung visi yang terkandung dalam Ekonomi MADANI, saya telah bertemu dengan beberapa pelabur terkemuka bagi meneroka peluang pelaburan strategik merentas sektor ekonomi utama.
Kebijakan Ekonomi MADANI adalah sebuah kerangka wahana yang jelas dan komprehensif bagi memungkinkan sebuah tatanan ekonomi negara yang mampan dan terangkum sebagai usaha dan upaya Kerajaan dalam meningkatkan tahap kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Visi ini menekankan peri penting penyertaan sektor swasta dan pelabur untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menggalak daya inovasi dan juga mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti serta berdampak tinggi.
Perjumpaan ini disertai beberapa orang pelabur yang berpengaruh di peringkat antarabangsa dan terkenal dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi dan syarikat yang berjaya, antaranya pengasas bersama laman Facebook Eduardo Saverin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama B Capital Raj Ganguly, Pengasas WM Partners Alejandro Weinstein dan Pengasas European Venture Funds Peter Kadas.
Kehadiran mereka bukan sahaja mempamerkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan dan prospek ekonomi negara, malah ia membuktikan Malaysia mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.
Perjumpaan yang pertama seumpama ini membuka peluang untuk berkongsi pandangan serta meneroka kerjasama untuk mencapai matlamat ekonomi negara.
Perbincangan turut menyentuh memberi soal peluang bagi meneroka pelaburan dalam sektor utama seperti teknologi dan inovasi, tenaga yang boleh diperbaharui, pembangunan infrastruktur, pelancongan serta hospitaliti, dan pembuatan.
Selain itu, sesi ini turut berkisar mengenai usaha memupuk persekitaran bagi menggalakkan pelaburan langsung asing, memperkemas peraturan dan proses, meningkatkan tatakelola dan memastikan kemampanan jangka panjang serta menekankan kepentingan tanggungjawab sosial dan pertumbuhan inklusif, dengan komitmen untuk mengutamakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan dan menyumbang kepada agenda pembangunan mampan.
Usaha berterusan Kerajaan adalah untuk menyediakan persekitaran mesra pelabur yang memupuk inovasi, melindungi harta intelek dan menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.
Saya turut membuka ruang untuk para pelabur mengenal pasti peluang pelaburan yang sejajar dengan matlamat strategik di samping memenuhi keperluan masyarakat.
Ini merupakan asas untuk potensi kerjasama dan pelaburan yang akan memberikan manfaat ekonomi yang besar untuk Malaysia dan rakyatnya.