Analisis

Peluang Anwar untuk bersihkan kerajaan, stabilkan politik

INI merupakan peluang terbaik atau terakhir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Itu semua bergantung kepada keputusan yang bakal diambil beliau pasca pilihan raya di enam buah negeri.

Pertama Anwar selaku Perdana Menteri perlu diyakinkan bahawa pemecatan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menyebabkan parti berkenaan menarik balik sokongan ahli parlimennya terhadap kerajaan perpaduan.

Anwar walaupun tahu Zahid merupakan beban kepada kerajaan dengan 47 kes mahkamahnya, tetapi pastinya tidak mahu meletakkan risiko kerajaan yang diterajui beliau tumbang tiba-tiba akibat daripada penarikan sokongan ahli parlimen.

Justeru perlu ada persetujuan beliau dengan Zahid atau mana-mana pemimpin atasan UMNO yang boleh memberi jaminan bahawa usaha membersihkan kerajaan daripada liabiliti adalah murni serta tidak akan menjejaskan kerajaan.

Bukan sahaja Zahid pada menteri kabinet yang kerjanya mengampu sahaja juga perlu digugurkan. Antaranya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Azalina Othman Said. Kedua-dua mereka berjawatan di dalam parti dan kerajaan bukan kerana prestasi, tetapi lebih kepada pembodek presiden.

Ramai lagi menteri kabinet yang perlu digugurkan, tetapi tidak perlu dilakukan secara terburu-buru, kerana mereka bukan penyumbang kepada prestasi buruk kerajaan perpaduan pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

Zahid memang ketara merupakan penyebab utama UMNO ditolak oleh para pengundi.

Dalam pada itu parti komponen Kerajaan Perpaduan sentiasa mengalu-alukan usaha untuk pendamaian dengan parti pembangkang demi kestabilan politik yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat berkata, oleh itu sebarang bentuk ‘politiking sempit’ perlu segera dihentikan selepas berakhirnya pilihan raya negeri (PRN).

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga sudah memohon ruang perbincangan dengan pembangkang termasuk ketika di awal penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Cuma setakat ini kami tidak nampak usaha pihak pembangkang untuk bergerak ke hadapan pada masa itu,” katanya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Isnin dilaporkan memaklumkan bahawa beliau sudah bersedia untuk membuka lembaran baharu hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sebelum itu turut mengulangi gesaan agar Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) menandatangani perjanjian damai untuk memastikan kestabilan politik selepas tamat PRN.

Dalam pada itu, Wei Kiat yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang menegaskan, pihak Kerajaan Perpaduan sentiasa terbuka dalam usaha mewujudkan kestabilan politik yang akan memberi kesan positif kepada negara.

“Ini masanya untuk semua parti berhenti memainkan agenda politik sempit seperti mempergunakan isu 3R (agama, raja dan kaum) dan perlu memberi tumpuan kepada isu-isu penting seperti ekonomi dan pembangunan rakyat,” ujarnya.

Mengulas lanjut berhubung cadangan Bersih supaya kedua-dua pihak menandatangani perjanjian damai, Wei Kiat berkata, kerajaan Pusat sememangnya telah bersedia dan ia ketika ini hanya bergantung kepada kesediaan pembangkang untuk berbuat demikian.

“Perkara ini perlukan perbincangan dan persetujuan daripada kedua-dua pihak seperti kerajaan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lakukan sebelum ini dengan Pakatan Harapan (PH). Lepas kedua-dua pihak bersetuju barulah dokumen itu ditandatangani,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menegaskan, kerajaan persekutuan hari ini yang mempunyai dua per tiga majoriti di Parlimen sudah terbukti memiliki kestabilan politik sekiranya pembangkang menghormati keputusan rakyat.

“Untuk mewujudkan sebuah negara demokrasi, kestabilan ini ada dua maksud, satu mempunyai majoriti besar dan satu lagi mempunyai majoriti dua per tiga. Jadi setelah lengkap pilihan raya penggal ke-15 ini, semua negeri dah membuat keputusan termasuk kerajaan Persekutuan.

“Keputusan rakyat adalah memberi kuasa kepada parti-parti dan ahli Parlimen untuk membuat keputusan di dalam penubuhan kerajaan jadi hari ini keputusannya adalah dua per tiga dalam Parlimen,” kata beliau.

Mengenai cadangan Bersih supaya Kerajaan Perpaduan dan PN menandatangani perjanjian damai pula, Mohd Razlan memberitahu, perjanjian damai itu boleh dibuat sekiranya ia hanya bersifat satu ‘aku janji’ dan tidak melibatkan perbelanjaan duit rakyat, bajet Parlimen atau ganjaran jawatan.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada sebarang halangan untuk berdamai dengan Kerajaan Perpaduan selagi diberi ruang untuk memberi kritikan membina demi kebaikan bersama.

Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, bagaimanapun perdamaian itu dikhuatiri akan menyebabkan pihak pembangkang hilang suara memberi teguran dan pandangan.

Beliau berpendapat, jika itu yang berlaku pihaknya tidak bersetuju untuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuka lembaran baharu dengan Kerajaan Perpaduan.

“Apapun perjanjian, jika demi kepentingan rakyat, ekonomi dan pembangunan negara saya rasa tidak ada masalah malah mengalu-alukannya kerana ia sememangnya keutamaan kami.

“Cuma kita bimbang bila buat perjanjian damai, kita pula kena ikut apa yang ditentukan oleh Kerajaan Perpaduan sedangkan semua pihak tahu mereka pun dalam keadaan yang tidak jelas, dasar tidak menentu dan bercelaru,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, menurut Mas Ermieyati, jangan disebabkan perdamaian itu, ada pihak yang akan mempertikaikan kewibawaan Sanusi dalam memberi teguran dan kritikan.

“Jadi, syarat damai adalah masih boleh menegur dan mengkritik kerajaan bukan menerima seadanya,” jelas beliau.

Laluan sudah terbuka. Inilah masanya kerajaan perpaduan perlu berfungsi sebagaimana yang dikehendaki oleh Yang di-Pertuan Agong.

(Visited 407 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button