Mahkamah

PM Anwar, Kerajaan Persekutuan mohon batal saman Mukhriz

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan persekutuan telah memohon untuk membatalkan saman berhubung taksiran cukai RM5 juta yang difailkan oleh anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua responden berhujah perkara ini hanya melibatkan pertikaian cukai antara Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan responden lain, iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Anwar dan kerajaan menyatakan perkara tersebut dalam permohonan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membatalkan tindakan semakan kehakiman yang difailkan Mukhriz terhadap mereka.

Pada 20 Disember tahun lalu, Mukhriz memfailkan tindakan sivil tersebut dengan mendakwa bahawa taksiran cukai RM5 juta oleh LHDN terhadap dirinya sebagai ‘tidak sah’, berlaku kerana permusuhan berpanjangan Anwar terhadap Mahathir.

Pada 2 Januari tahun ini, mahkamah telah memberi kebenaran kepada Mukhriz untuk meneruskan tindakan tersebut.

Dalam satu afidavit yang ditandatangani oleh peguam kanan persekutuan Nur Irwamawatie Daud daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi pihak Anwar dan kerajaan, kedua-dua responden menyatakan bahawa isu Mukhriz hanyalah berkaitan dengan tiga notis taksiran tambahan yang dikeluarkan LHDN bagi tahun taksiran 2017, 2018 dan 2019.

Anwar dan kerajaan berkata Mahkamah Tinggi pada 2 Januari hanya membenarkan Mukhriz meneruskan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan LHDN mengeluarkan notis taksiran cukai.

Kedua-dua responden menegaskan keputusan mahkamah itu tidak membenarkan Mukhriz memohon pelbagai relif tambahan lain, antaranya deklarasi bahawa perdana menteri telah menyalahgunakan kuasa dengan menyebabkan LHDN mengeluarkan notis taksiran tersebut.

Sehubungan itu, Anwar dan kerajaan berhujah mereka tidak perlu lagi dikekalkan sebagai responden dalam semakan kehakiman berkenaan.

“Penamaan pemohon terhadap responden kedua (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) dan responden ketiga (kerajaan Malaysia) kini adalah jelas mengaibkan, remeh atau menyusahkan.

“Penamaan pemohon terhadap responden kedua dan responden ketiga adalah jelas merupakan suatu penyalahgunaan proses Mahkamah Yang Mulia ini.

“Penamaan pemohon terhadap responden kedua dan responden ketiga ini adalah suatu tindakan yang jelas tidak boleh dikekalkan (obviously unsustainable) dan wajar dibatalkan oleh Mahkamah Yang Mulia ini,” kata Anwar dan kerajaan dalam afidavit yang dilihat oleh Malaysiakini.

Jika mahkamah membenarkan permohonan ini, Anwar dan kerajaan akan digugurkan daripada semakan kehakiman tersebut, menjadikan LHDN satu-satunya responden dalam kes ini.

Pada masa ini, mahkamah mengeluarkan perintah untuk menangguhkan taksiran cukai LHDN sementara menunggu penyelesaian semakan kehakiman Mukhriz.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Mukhriz, Nizamuddin Abdul Hamid berkata pihaknya sedang mempertimbangkan tindak balas terhadap permohonan terbaru yang difailkan oleh Anwar dan kerajaan.

Menurut dokumen semakan kehakiman itu, Mukhriz mendakwa taksiran cukai tambahan untuk tahun 2017 hingga 2019 yang dikeluarkan pada September lalu adalah tidak munasabah dan menyalahi undang-undang.

Dia turut mendakwa tindakan LHDN dipengaruhi oleh perseteruan lama Anwar dengan Mahathir, merujuk pemecatan ahli parlimen Tambun itu daripada jawatan Menteri Kewangan dan keahlian Umno pada tahun 1998.

“Sejak pemecatan responden kedua (Anwar) daripada Umno dan jawatan timbalan perdana menteri, diketahui umum bahawa responden kedua dan Mahathir adalah musuh politik,” kata Mukhriz dalam dokumen tersebut.

Pemohon turut mendakwa permusuhan politik itu berlanjutan walaupun selepas kerjasama singkat antara Anwar dan Mahathir dalam pentadbiran Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020.

Mukhriz mendakwa motif politik Anwar jelas kelihatan dalam siasatan SPRM terhadap adik-beradiknya, Mokhzani dan Mirzan.

Mukhriz turut mendakwa permusuhan Anwar turut didorong saman fitnah yang difailkan Mahathir terhadap perdana menteri ketika ini.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata tindakan undang-undang Mahathir berhubung dakwaan Anwar bahawa kekayaan keluarganya berpunca daripada amalan rasuah bekas perdana menteri tersebut semasa berkuasa.

Mukhriz juga mendakwa Anwar telah membuat tuduhan palsu dan tidak berasas terhadap keluarganya.

Taksiran cukai yang dipertikaikan oleh LHDN ialah RM2,558,875.90 bagi tahun 2017; RM2,445,004.91 bagi tahun 2018; dan RM16,826.37 bagi tahun 2019.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button